Hasil teranah di rumah dengan bercucuk tanam

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Negara Brunei Darussalam telah dilanda gelombang kedua penularan wabak COVID-19 sejak 7 Ogos lalu, yang mana sedikit sebanyak menjejaskan aktiviti harian rakyat dan penduduk amnya.

Kementerian Kesihatan juga telah melaksanakan langkah berjaga-jaga seperti menutup sekolah-sekolah, masjid, pusat kesihatan dan sebagainya serta kebanyakan pekerja diarah untuk bekerja dari rumah, para pelajar pula diarahkan untuk belajar secara dalam talian di rumah masing-masing.

Sehubungan itu, sesetengah orang memanfaatkan peluang yang ada untuk melakukan perkara yang lebih berfaedah seperti yang telah dilakukan salah seorang ahli Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung Jerudong B ini yang menggunakan masa teranah di rumah dengan sebaiknya.

“Apabila arahan teranah di rumah dikuatkuasakan, kita gunakan masa ini dengan sebaik-baiknya seperti bercucuk tanam di kawasan halaman rumah.”

Begitulah menurut Dayang Sisah ketika ditemui Media Permata hari ini, di mana beliau mula bercucuk tanam seperti cili merah, sayur-sayuran dan banyak lagi di halaman rumahnya.

Tanaman hidroponik Awang Afiq yang dilakukannya sepanjang teranah di rumah.
Hasil tanaman cili merah oleh Dayang Sisah di halaman rumah yang membuahkan hasil.

“Alhamdulillah tanaman yang ditanam sebelum juga telah membuahkan hasil yang lumayan, separuh daripadanya dapat dijual dan dimasak untuk dimakan bersama ahli keluarga,” kata beliau.

Demikian juga dengan ahli-ahli Biro Wanita Majlis yang lain, mereka menanam bawang merah untuk mendapatkan daun bawang yang segar yang boleh digunakan untuk masakan.

Manakala, bagi Dayang Batrisya yang masih seorang pelajar pula berkata, “Waktu pembelajaran bermula dari pukul 7 pagi hingga 3:30 petang. Tetapi semasa pandemik COVID-19, waktu pembelajaran dipendekkan waktunya dari pukul 8 pagi hingga 12:30 tengah hari, jadi saya ada sedikit masa untuk melakukan aktiviti lain.

“Ketika situasi yang genting ini, orang ramai digalakkan supaya teranah di rumah agar penularan dapat dihentikan. Justeru bagi mengisi masa lapang selepas waktu pembelajaran saya dan abang-abang saya mengambil inisiatif untuk melakukan aktiviti berkebun di halaman rumah,” tambah Dayang Batrisya.

Awang Afiq yang juga mengambil peluang untuk melakukan aktiviti berkebun seperti tanaman hidroponik menyatakan, “Saya suka menanam salad dengan sistem hidroponik. Sistem itu tidak memerlukan tanah dan hanya menggunakan air. Penjagaannya juga sangat mudah.

“Tanaman juga tidak perlu disiram dengan air. Usaha saya mendatangkan hasil yang berfaedah.”