HANYA dengan menggunakan daun terup plastik, seorang warga emas di China telah menghasilkan beberapa buah pasu yang cantik dan kelihatan seperti realistik.
Lelaki itu, Zhang Kehua, 65, dari Qianjiang di wilayah Hubei, China menggunakan kepakaran yang dimiliki untuk menghasilkan pasu yang kelihatan seakan-akan diperbuat daripada seramik dengan menggunakan beribu-ribu keping daun terup plastik.
Hasil kreativiti Kehua itu ternyata begitu mengagumkan apabila orang ramai begitu teruja melihat hasil tangannya dalam mengubah daun terup plastik menjadi suatu hasil kerja tangan yang begitu cantik dan mahal.
Kehua yang juga merupakan bekas seorang pembuat ukiran batu menggunakan kaedah lipatan untuk membentuk pasu yang turut dihiasi dengan corak tradisional.
Jika dilihat dari jauh, hasil seni dihasilkan begitu halus dan tidak kelihatan sebenarnya pasu tersebut dihasilkan dengan menggunakan daun terup plastik yang dilipat dan dicantumkan.

Ketika masih bekerja sebagai pengukir batu, Kehua banyak membaik pulih bangunan lama di wilayah Jianli.
Pekerjaan itu memberi peluang kepadanya melihat binaan antik termasuk pasu seramik lama dengan corak yang begitu cantik.
Ilham
Kombinasi warna biru dan putih pada pasu seramik dan rekaan corak yang indah telah menarik minatnya, namun dia terpaksa memendam impian untuk memiliki pasu seramik sebegitu kerana harganya yang terlalu mahal.
Idea untuk menghasilkan pasu yang diperbuat daripada daun terup plastik tercetus beberapa tahun lalu selepas dia melihat seorang kanak-kanak di jalanan bermain dengannya dan melipatnya menjadi bentuk segi tiga kecil.
Secara tidak langsung, Kehua mendapat ilham untuk menggunakan teknik tersebut secara teori dan melipat daun terup plastik itu dalam pelbagai bentuk.
“Perkara pertama yang muncul dalam fikiran saya adalah pasu seramik,” tutur Kehua yang terus pulang ke rumah dan mula berlatih melipat daun terup plastik.


Hanya dengan menggunakan daya imaginasi, Kehua mencantumkan daun terup plastik yang dilipat itu membentuk pasu seramik walaupun mengakui ia adalah satu perkara yang sukar dan mencabar. Selepas sebulan berusaha, Kehua akhirnya berjaya menyiapkan pasu pertamanya yang dihasilkan 100 peratus menggunakan daun terup plastik.
5,000 keping
Selepas berjaya menyiapkan pasu daun terup plastiknya yang pertama, Kehua semakin bersemangat untuk menghasilkan rekaan lain dengan sentuhan corak lebih rumit seperti terdapat pada permukaan pasu seramik Cina sebenar.
Untuk rekaan seterusnya, Kehua telah menghasilkan beberapa jenis pasu dengan pelbagai bentuk geometri seperti berbentuk bulat, berlian dan segi tiga selain turut membuat beberapa pasu berbentuk artistik dengan menerapkan corak dengan elemen seperti naga dan burung cenderawasih.
“Walaupun saya tidak memiliki pasu seramik sebenar, hasil tangan saya ini sudah cukup memberi kepuasan dan disukai ramai,” katanya.
Sebelum membuat satu-satu pasu itu, Kehua terlebih dahulu akan melukis pelan dan bentuk bagaimana kad-kad itu perlu dilipat dan dipasang mengikut bentuk yang dikehendaki.
Untuk sebuah pasu setinggi 106 sentimeter, Kehua menggunakan sebanyak 5,000 keping daun terup plastik dan mengambil masa selama seminggu untuk menyiapkannya.
Kehua telah menjual hasil kerja tangannya itu kepada individu yang berminat untuk dijadikan hiasan di dalam rumah dan hadiah perkahwinan, selain turut menjadi buruan oleh pengumpul koleksi-koleksi unik. – Agensi