Hasilkan pelindung muka cetakan 3D

MIRI, 8 APRIL – Sekumpulan pelajar kejuruteraan Curtin University Malaysia (Curtin Malaysia) telah berganding bahu dengan yang lain di Sarawak untuk menghasilkan pelindung muka dengan pencetak 3D secara besar-besaran.

Pelindung-pelindung muka berkenaan diedarkan kepada kakitangan barisan depan di hospital-hospital setempat yang kekurangan pelindung muka dan peralatan perlindungan peribadi (PPE) lain, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Curtin Malaysia, baru-baru ini.

Kenyataan menjelaskan, projek melibatkan lima pelajar universiti berkenaan yang merupakan ahli Institut Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (IEEE) Cawangan Pelajar Curtin Malaysia, seorang graduan kejuruteraan Curtin Malaysia dan sukarelawan-sukarelawan dari All Aboard Young Leaders Centre (AAYLC) dan Pustaka Miri.

Penghasilan pelindung muka di Miri bermula pada 26 Mac lalu dan setakat 6 April lalu, lebih 600 unit pelindung muka telah disumbangkan kepada Hospital Miri.

Penyelaras projek berkenaan, Leong Yuh Chyi yang merupakan salah seorang pelajar kejuruteraan Curtin Malaysia, memberitahu bahawa sasaran kumpulan berkenaan adalah untuk menghasilkan 1,000 pelindung muka bagi hospital-hospital di Miri dan 4,000 lagi bagi hospital-hospital di bahagian lain Sarawak.

Beliau berkata, inisiatif kumpulan Miri itu adalah sebahagian daripada pergerakan meluas oleh pelajar-pelajar, profesional dan pembuat teknologi yang berpandangan sama, serta perniagaan-perniagaan kecil dan organisasai sukarelawan di Sarawak yang dikenali sebagai Sarawak COVID-19 3D Printing Union.

Kesatuan berkenaan, bekerjasama dengan Sarawak Multimedia Agency (SMA) dan profesional-profesional perubatan untuk menghasilkan versi improvisasi bagi PPE yang sangat diperlukan.

Salah seorang pekerja kesihatan di Marudi bersama pelindung muka yang disumbangkan oleh kumpulan Miri bagi Sarawak COVID-19 3D Printing Union. – Gambar serahan Curtin Malaysia