Hasrat ‘The Alligator’ dihalang kerana COVID-19

KUALA LUMPUR, 16 APRIL – Jika tidak kerana penularan pandemik COVID-19, atlet seni mempertahankan diri campuran (MMA) negara, Agilan Thani, mungkin sedang ‘sibuk’ menjalani latihan demi mengejar impiannya untuk bergelar juara dunia ONE Championship.

Bagaimanapun, wabak yang melanda 200 negara dan turut menjejaskan beberapa penganjuran acara sukan, memaksa Agilan yang terkenal dengan gelaran ‘The Alligator’ melupakan hasratnya buat seketika untuk bergelar juara dunia kategori welterweight, akhir tahun ini.

Dua minggu selepas memulakan latihan di Florida, Amerika Syarikat, pada 28 Februari lalu, atlet berusia 24 tahun itu terpaksa memendekkan tempoh program latihannya kerana tiada jaminan mengenai penerbangan pulang berikutan keadaan wabak yang semakin buruk.

Di Amerika Syarikat, atlet dari Sentul itu menjalani latihan di bawah jurulatih dari Belanda, Henri Hooft, bersama beberapa juara dunia termasuk Martin ‘The Situ-Asian’ Nguyen (ONE Feitherweight) dan ‘The Burmese Python’ Aung La N San (ONE Middleweight and Light Heavyweight). – Bernama