Tuesday, December 10, 2024
34.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hasrat hos siri Piala Dunia UCI

    NILAI, 19 Feb – Malaysia berhasrat membida menjadi tuan rumah salah satu siri Piala Dunia dalam kalender Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada 2019/2020 di Velodrom Nasional di sini.

    Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata Presiden UCI, David Lappartient memberi respons positif berhubung hasrat negara untuk membuat bidaan tersebut.

    “Kerajaan Malaysia juga sedia membantu menyediakan bantuan kewangan kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk melakukan bidaan. Beliau (Lappartient) nampak positif tetapi kita kena melalui proses rasmi untuk membuat bidaan menjadi tuan rumah. “

    “Saya sokong cadangan PKBM untuk kita jadi tuan rumah Piala Dunia, sebab kita sudah bina velodrom bertaraf antarabangsa. Lebih baik kita manfaatkannya dengan menganjurkan kejohanan bertaraf dunia di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di Velodrom Nasional hari ini.

    Khairy berkata sebagai persediaan melakukan bidaan itu, pihaknya akan melakukan penambahbaikan terhadap kemudahan di Velodrom Nasional supaya menepati ketetapan diperlukan bagi penganjuran perlumbaan bertaraf dunia.

    “Salah satu sebab Malaysia menjadi tuan rumah ACC (Kejohanan Berbasikal Trek Asia) di sini, kita dapat melihat kekurangan yang perlu penambahbaikan sebagai persediaan membuat bidaan untuk Kejohanan Dunia nanti,” katanya.

    Sementara itu, Khairy yang hadir menyaksikan pelumba negara beraksi pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia di velodrom berkenaan, secara keseluruhan berpuas hati dengan prestasi dipamerkan atlet kebangsaan, paralimpik dan pelapis.

    Walaupun jaguh dunia, Azizulhasni Awang sekadar meraih pingat gangsa dalam acara keirin, Khairy percaya pelumba yang terkenal dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’ itu mempunyai misi lebih penting, dengan mempertahankan gelaran juara dunia di Brazil pada Mac ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda