Hasrat lihat rumah siap sebelum bersara tidak kesampaian

SEMPORNA, 24 JUN – Hasrat Allahyarham Laskar Kanan PAP, Maslim Abdul  Rahim, 35, untuk melihat rumah untuk isteri dan anaknya di Kampung Sakong Kecil, Tanjung Kapor di sini siap, tidak kesampaian apabila dia terkorban dalam satu kemalangan di Jalan Ranau-Tamparuli, berhampiran Kampung Bundu Tuhan, Ranau, semalam.

Impian arwah itu dikongsikan isterinya, Nurfaizah Mohd Pagal, 35, dan rumah impiannya itu kini hampir 70 peratus siap.

“Arwah berfikiran panjang mengenai kehidupan kami sekeluarga selepas berpencen dan sebab itu dia mengimpikan rumah kami yang dibina di Kampung Sakong sejak dua tahun lalu itu, siap sepenuhnya.

Arwah ada tujuh tahun lagi perkhidmatan bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum berpencen,  dia mahu ada rumah yang selesa untuk kami anak-beranak tinggal,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bugaya, Jalan Rancangan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nurfaizah berkata seminggu sebelum kejadian, suaminya itu banyak mendiamkan diri dan jika bercakap hanya mengenai akhirat. – Bernama

Seorang anggota Polis mengawal lalu lintas dalam satu kemalangan melibatkan sebuah lori tiga tan milik TLDM yang dalam perjalanan ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu Teluk Sepanggar dari Pangkalan TLDM Sandakan telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahu Jalan Ranau-Kota Kinabalu, pada 23 Jun. – Bernama