Hasrat nikah bersama tertunai selepas sebulan tertangguh

ALOR SETAR, 4 MEI – Hasrat dua beradik untuk bernikah dengan pasangan masing-masing dalam majlis yang sama akhirnya menjadi kenyataan hari ini selepas sebulan tertangguh ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Nurul Allia Ezzati Md Lutfi, 26, dengan pasangan Mohd Azran Elyas, 28, dan adiknya Nurul Ainna Md Lutfi, 23, dengan pasangannya Fairuzfaiz Faiq Fairuzi, 23, dinikahkan oleh Pegawai Agama Daerah Kota Setar Syeikh Ahmad Faisol Omar bersama tujuh lagi pasangan lain di Pejabat Agama Daerah Kota Setar, di sini.

Nurul Allia Ezzati yang ditemui pemberita selepas majlis itu berkata majlis akad nikahnya dan Nurul Ainna sepatutnya dilangsungkan serentak pada 3 April lepas.

“Bila tidak dibenarkan untuk langsungkan akad nikah, kami ambil keputusan untuk tangguhkan sampai tamat PKP tapi minggu lepas Pejabat Agama Daerah Kota Setar menghubungi kami dan memberi tarikh yang telah ditetapkan untuk dinikahkan.

“Selepas berbincang dengan keluarga, akhirnya semua pihak bersetuju untuk melangsungkan akad nikah hari ini. Kami gembira kerana akhirnya dapat juga dinikahkan walaupun lewat sebulan,” katanya. – Bernama

Dua beradik bersama pasangan masing-masing gembira kerana dapat juga dinikahkan walaupun lewat sebulan pada majlis akad nikah sembilan pasangan pengantin di Pejabat Agama Daerah Kota Setar kelmarin. – Bernama