Hasrat Sasha Saidin bawa anak ke Dubai tercapai

Selepas lebih dua tahun berkahwin dan mengikut suami menetap di Dubai, penyanyi Sasha Saidin akhirnya meluahkan rasa syukur apabila dapat membawa anaknya iaitu Adam Aryasenna Notosoemarson, 13, untuk tinggal di sana.

Menurut Sasha, 45, perancangan untuk membawa anak lelakinya itu ke sana sudah dilakukan sejak awal berkahwin, namun disebabkan masalah dokumen dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) niat tersebut terpaksa ditangguhkan.

“Selepas berkahwin saya dan suami pergi mengerjakan umrah sebelum kami pulang ke Dubai. Kemudian waktu itu COVID mula melanda dan PKP dilaksanakan. Jadi memang tak dapat nak bawa anak bersama.

“Urusan dokumen untuk membawa anak menetap dan bersekolah di sana juga tergendala. Jadi kali ini saya dapat peluang balik Malaysia dan selesaikan semua. Syukur segalanya dipermudahkan,” katanya kepada mStar.

Untuk rekod, Arya merupakan anak hasil perkahwinan kedua Sasha bersama Salyo Priyanto Nutosoemarsono yang mana hubungan mereka berakhir pada Julai 2012. Sebelum itu, Sasha pernah berkahwin dengan Johan Abdullah Skinner.

Pada Januari 2020, Sasha kembali mendirikan rumah tangga dengan seorang duda anak dua bernama Sirhan Wahab. Ditanya tentang penerimaan Arya apabila diajak berpindah ke tempat baharu, kata Sasha anaknya sudah cukup matang untuk menerima persekitaran baharu dan teruja untuk ke sana.

Anggota kumpulan Elite ini juga memberitahu perancangan untuk tinggal di Dubai bukanlah selamanya dan akan pulang ke Malaysia jika suami selesai tugas di sana. – Agensi

Sasha bersama anak dan adiknya, Zain Saidin. Sasha akhirnya dapat bawa anaknya menetap di Dubai. – Agensi