Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    ‘Hati berdebar-debar ketika kembali ke sekolah’

    ABIDJAN – Anak-anak muda di Ivory Coast kembali ke sekolah pada minggu ini dengan hati berdebar-debar, bimbang sesuatu buruk bakal menimpa diri mereka: pelajar dengan gred purata kurang daripada 8.5 daripada 10 tidak dibenarkan meneruskan pembelajaran pada akhir tahun.

    Langkah tersebut adalah peraturan lama yang dikembalikan semula oleh pihak berkuasa dengan harapan dapat mempertingkat standard umum pendidikan di negara Afrika barat – melarang mana-mana pelajar dengan gred yang tidak memenuhi standard untuk meneruskan pembelajaran mereka.

    Di daerah kelas kerja Adjame, di tengah-tengah ibu negeri komersial Abidjan, peraturan itu mencetuskan komen-komen di gerai-gerai kecil yang menjual bekalan sekolah, di mana penduduk juga bertukar-tukar buku teks terpakai.

    “Apa yang akan kami lakukan dengan pelajar yang dikecualikan? Ia terlalu drastik!” ujar Mariam Eid, ibu kepada tiga orang anak.

    “Sistem ini akan mendorong mereka menjadi penjahat. Kami mahu pengajaran dipertingkatkan, namun dilaksanakan secara beransur-ansur,” tambahnya, sementara memastikan buku matematik yang lusuh itu tidak mempunyai muka surat yang hilang sebelum dia membelinya.

    Pelajar sedang mengikuti pembelajaran di sekolah tinggi Djedji Amondji Pierre di Adjame, Abidjan. – AFP
    Seorang wanita membayar buku terpakai di sebuah kedai di Adjame. – AFP

    Pelajar sedang mengikuti pembelajaran di sekolah tinggi Djedji Amondji Pierre di Adjame, Abidjan. – AFP

    Akan tetapi di kolej Pierre Amondji di Adjame – di mana moto ‘Sesiapa yang mencari kesempurnaan akan peroleh kecemerlangan’ terpampang dalam huruf besar di dinding perkarangan sekolah – moto tersebut pada umumnya diterima baik dalam kalangan pelajar.

    “Saya mendapatinya amat positif,” kata Djenebou, yang bakal menduduki peperiksaan baccalaureate sekolah pada akhir tahun ini.

    “Ia akan membakar semangat kami untuk menggandakan lagi usaha dan bekerja lebih keras.”

    “Ia merupakan langkah yang baik. Matlamatnya adalah untuk menambah ilmu pengetahuan kami agar kami boleh meneruskan dengan latihan yang kukuh,” ujar rakan sekelas Seydou.

    Namun Seydou juga berharap peraturan tersebut tidak akan menggalakkan penipuan, terutamanya sesetengah guru memeras ugut pelajar sebagai tukaran memberikan gred peperiksaan yang baik.

    “Sesetengah guru adalah cerewet…Markah yang diberikan adalah amat rendah dan untuk meneruskan ke peringkat pembelajaran seterusnya kami perlu berunding dan tawar-menawar dengan mereka,” kata pelajar muda itu.

    Menteri Pendidikan, Mariatou Kone, yang menyelia penggal persekolahan baharu untuk tahun kedua sebagai menteri, mempertahankan peraturan yang tidak diterima oleh semua pihak.

    “Ia merupakan langkah yang telah wujud sejak 1970 dan kami memperkenalkannya semula untuk menggalak pelajar berusaha dan tidak menerima keputusan yang sederhana atau tidak berapa baik.

    “Pelajar tidak dikecualikan daripada sistem sekolah. Terdapat jurang di antara pendidikan teknikal dan latihan vokasiaonal,” tambah Kone, tidak sabar-sabar untuk ‘meyakinkan ibu bapa.’

    Menurut menteri lagi, pelajar yang tidak mendapat gred yang baik tidak akan mengikuti kurikulum standard, tetapi mereka boleh mempelajari kemahiran berlainan.

    “Kami tidak boleh mengetepikan sesiapa. Kerajaan mesti memindahkan pelajar berkenaan kepada latihan dalam bidang lain,” tekan Claude Kadio Aka, presiden Pertubuhan Ibu Bapa Pelajar di Ivory Coast (Opeeci).

    “Kesemua anak kami adalah penting dalam pembangunan negara,” kata Aka.

    Kone menekankan matlamat pembaharuan yang dilaksanakan bertujuan ‘membaiki dan mempertingkat standard’ sekolah Ivory dan memberikan diploma pengiktirafan yang sewajarnya.

    Dalam tempoh dua tahun lalu, kadar kejayaan pendidikan baccalaureate telah mencecah 30 peratus, berbanding dengan 45 peratus pada tahun-tahun sebelumnya.

    “Pelajar kami berada dalam kelas lanjutan dan tidak tahu bagaimana menulis ayat sekolah rendah,” bantah Christelle Okingni, yang mempunyai empat anak di sekolah dan beliau mengalu-alukan inisiatif tersebut.

    Namun langkah tersebut adalah tidak memadai untuk mempertingkat sistem persekolahan yang amat kekurangan sumber.

    “Pelajar sering bangkit membantah kekurangan bilik darjah dan meja,” jelas seorang guru yang mengajar mata pelajaran Perancis dari sebuah sekolah di Bouake, bandar kedua di negara itu, yang meminta namanya tidak disiarkan.

    Memang bukan sesuatu yang janggal di Ivory Coast untuk menemui bilik darjah dengan 60 atau 80 pelajar, sementara kekurangan guru ada kalanya mengurangkan tahun persekolahan selama beberapa minggu.

    “Pada tahun lalu, kami mempunyai guru matematik dan fizik hanya selepas penggal pertama, keadaan ini tidak baik untuk pelajar,” keluh Aya, pelajar sekolah menengah di sebuah kolej di Bouake.

    Isu yuran sekolah telah timbul berkali-kali pada masa kadar inflasi di seluruh dunia turut menjejas keluarga berpendapatan rendah di Ivory Coast.

    Secara rasminya, sekolah kerajaan di Ivory adalah percuma, namun kos pakaian seragam, kasut dan bekalan sekolah boleh memberikan bebanan kepada bajet keluarga – selain yuran pendaftaran yang ada kalanya diminta oleh sesetengah sekolah.

    Minggu lalu, kerajaan mengumumkan pengagihan enam juta buku teks secara percuma dan 5.3 juta bekalan peralatan sekolah serta peruntukan 167,000 meja. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...