Hati-hati berhutang

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Walaupun berhutang dibolehkan di dalam Islam tetapi ia disusuli dengan penekanan serta peringatan tegas dan setiap individu perlu mengambil langkah berhati-hati agar jumlah hutang yang ditanggung tidak membebankan, tidak kira ke atas diri sendiri, kepada diri penjamin mahupun ahli keluarga yang lain.

“Hutang sering kali menyeret atau menjerumuskan ke dalam kancah sifat mazmumah. Menjadikan akal dan fikiran sentiasa ‘terpenjara’ atau risau. Bebanan dan tekanan perasaan sebegini boleh sahaja menjadikan seseorang itu hilang pertimbangan dan kewarasan akal fikiran, yang akhirnya boleh saja mengakibatkan perlakuan jenayah.”

Inilah antara kemelut yang akan dihadapi oleh penghutang jika tidak ada pengawalan atau campur tangan pihak berkuasa dalam mengendalikan atau menangani perkara berkaitan hutang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud selaku ahli Lembaga Pengarah Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), membuat peringatan itu semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara ke-13 (Muzakarah-13) di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

Yang Berhormat Dato menekankan, hidup yang diselubungi oleh hutang boleh menjadi satu isu yang menggugat kestabilan kewangan dan ekonomi sesebuah negara.

Dari itu, tambah beliau, amatlah penting bagi masyarakat awam untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan asas pengurusan kewangan agar dapat mengendalikan kewangan masing-masing dengan lebih efektif dan efisien.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti semasa menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Muzakarah-13, kelmarin.
Sebahagian yang menghadiri Majlis Perasmian Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara ke-13.

Beliau berkata, melihat perkembangan produk pembiayaan semasa dan ketersediaan platform pembiayaan bank kepada pelanggan serta senario pahit akibat daripada hutang yang membebankan, tema muzakarah tahun ini iaitu ‘Sinergi antara Institusi Kewangan Islam dan Obligasi Sosial: Isu dan Hala Tuju’ sedikit sebanyak mengupas isu tersebut.

Skop perbincangan meliputi isu-isu syariah dalam pengiraan zakat, penggunaan dana-dana tertentu bagi melangsaikan hutang tertunggak pelanggan bank serta aset yang perlu dikenakan zakat dalam instrumen pasaran modal Islam dan kedudukan serta fungsi zakat dalam penetapan polisi fiskal adalah sangat relevan bahkan penting untuk dibincangkan dan dipecahkan ruyungnya menurut perspektif Islam.

Muzakarah yang diadakan oleh Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dengan kerjasama Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA), Malaysia itu berlangsung selama dua hari hingga esok dan dihadiri oleh 300 orang peserta yang terdiri daripada ilmuan dan cendekiawan Nusantara yang melibatkan institusi keagamaan dan pengajian tinggi luar negara.

Tema muzakarah pada tahun ini merupakan kesinambungan daripada perbincangan Muzakarah-12 yang diadakan di Thailand tahun lalu.

Perbincangan tersebut telah menyimpulkan pelbagai isu syariah yang perlu diteliti khususnya berkaitan dengan zakat dan dana sosial dalam sistem kewangan Islam.

Justeru, muzakarah kali ini akan memperuntukkan satu sesi khas berkaitan pelunasan hutang tertunggak pelanggan bank melalui dana zakat, dana kebajikan dan dana penyucian.

Sesi berkenaan akan memberi peluang kepada para ulama, cendekiawan dan pengamal kewangan Islam untuk mengupas dan membahaskan isu ini dengan lebih mendalam dan seterusnya mencapai kata sepakat dalam penetapan hukum Syarak.

Objektif muzakarah berkenaan adalah untuk memberikan platform bagi membina perbincangan dan diskusi yang dinamik antara pihak yang berkepentingan dalam institusi kewangan Islam, khususnya para cendekiawan syariah dan pengamal industri di Nusantara.

Selepas Yang Berhormat Menteri di JPM merasmikan muzakarah berkenaan, majlis disusuli dengan pembentangan ucaptama oleh Penolong Gabenor, Bank Negara Malaysia, Aznan bin Abdul Aziz.

Muzakarah-13 hari ini juga menyaksikan penandatanganan pembaharuan MoU antara UNISSA dan ISRA sebelum pembentangan kertas-kertas kerja daripada pakar-pakar ilmuan Islam tempatan dan luar negara.

Turut hadir ialah Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad; Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal; Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin; Pemangku Pengarah Urusan AMBD, Dato Seri Setia Haji Metussin bin Haji Baki; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh; Penolong Mufti, Dato Seri Setia Dr Haji Mazanan bin Haji Yusof serta beberapa orang pegawai kanan AMBD, UNISSA dan ISRA.