Hati-hati dengan penyemburan pembasmi kuman

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Kementerian Kesihatan memaklumkan orang ramai terutamanya premis-premis perniagaan untuk tidak menggunakan terowong pembasmian kuman (disinfectant tunnels), ruang pembasmian kuman (disinfectant chambers), kabinet pembasmian kuman (disinfectant cabinet) atau apa jua modaliti yang membabitkan penyemburan pembasmi kuman ke atas orang awam yang tidak memakai pakaian perlindungan diri (PPE).

Kementerian Kesihatan membuat pemakluman berkenaan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, berikutan dengan notis Amaran Alat Kesihatan yang diterima daripada pihak ECRI iaitu sebuah organisasi yang tidak berasaskan keuntungan dalam meningkatkan keselamatan, kualiti dan keberkesanan penjagaan kesihatan dan juga daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai alat penyemburan pembasmi kuman.

Kenyataan menekankan lagi bahawa pembasmian kuman melalui penyemburan boleh mengakibatkan kerengsaan atau kerosakan sementara pada kulit, mata dan sistem pernafasan melalui penyerapan menerusi kulit, mata atau paru-paru.

Di samping itu, kesan negatif yang mungkin dihadapi hasil daripada terdedah kepada kimia berkenaan termasuklah pening dan muntah, kesan kesihatan sementara atau kekal dan lain-lain tertakluk kepada bahan kimia yang digunakan pada penyembur.

Sehubungan itu, jika terdapat individu yang mengalami kesan-kesan seperti yang dinyatakan dan merasa tidak sihat selepas menggunakan alat-alat berkenaan, mereka hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan perhubungan lanjut, mereka boleh menghubungi Talian Darussalam 123 atau menghantar e-mel kepada [email protected]