Hati-hati dengan tawaran pakej badal haji

MEKAH, 19 JUN – Berhati-hati dengan taktik tawaran pakej badal haji terutama yang tidak menyatakan secara jelas siapa pelaksananya.

Bukan itu sahaja, pakej harga amat mencurigakan dan tidak berasas sedangkan kerajaan Arab Saudi telah menetapkan kos permit haji pada kadar tertentu termasuk untuk rakyat tempatan.

Pengarah Operasi Bimbingan, Haji Tengku Aziz Raja Abdullah kelmarin berkata, lambakan iklan yang mempromosikan pakej badal haji pada harga tidak munasabah perlu diberi perhatian serius kerana ia seolah-olah tindakan sengaja mengaut keuntungan.

Katanya, Lembaga Tabung Haji (TH) yang memainkan peranan penting di Tanah Suci pun tidak melaksanakan badal haji tahun ini kerana menyedari  pelbagai peraturan yang ditetapkan Arab Saudi. “Kalau lihat dari senario di Malaysia, ada yang mengambil upah badal haji pada pakej serendah RM500, RM1,500 bahkan ada yang menawarkan RM2,500 hingga RM3,000.

Tengku Aziz turut berkata, sesetengah pakej menggunakan nama pelajar Malaysia yang tinggal di Madinah dan Mekah, sedangkan pelajar di situ hanya tinggal kira-kira 15 orang, malah mereka sendiri telah menyatakan ketidaksanggupan mengambil badal haji kerana kos yang mahal. – Bernama