Hati-hati jerat pancingan data

Oleh SimY.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Jabatan Perkhidmatan Pos (JPP), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini, memaklumkan bahawa JPP telah menerima aduan daripada beberapa pelanggan berhubung ‘pembayaran yuran dan kos penghantaran bungkusan’ yang didakwa kepunyaan JPP.

Menurut kenyataan dikeluarkan JPP, memaklumkan kepada orang ramai khususnya pelanggan-pelanggan yang berurusan dengan JPP bahawa pautan teks pesanan ringkas daripada ‘Brunei Post’ adalah tidak benar dan pihak JPP tidak pernah meminta maklumat peribadi dan maklumat perbankan daripada pelanggan untuk mana-mana perkhidmatan yang sedia ada.

Hasil analisa oleh Cyber Security Brunei (CSB) melalui BruCERT telah mendapati bahawa ini adalah pancingan data (phishing).

Sehubungan itu, pihak BruCERT menyarankan orang ramai agar tidak mengongsikan maklumat peribadi dan kewangan dengan pihak yang tidak dikenali ketika dalam talian.

Pastikan kesahihannya terlebih dahulu sebelum menekan pautan yang diterima melalui SMS, WhatsApp atau media sosial dan pastikan untuk menggunakan laman web rasmi kerajaan iaitu gov.bn untuk sebarang urusan yang melibatkan perkongsian maklumat peribadi.

Orang ramai adalah dinasihatkan untuk sentiasa peka dan tidak terpedaya dengan maklumat yang mencurigakan dan tidak pasti kesahihannya.

Pihak JPP mengambil serius mengenai sebarang kegiatan penipuan ini dan secara aktif melaksanakan perbagai langkah keselamatan untuk melindungi pelanggan dari sebarang kejadian yang tidak diingini.

Dalam pada itu, pihak JPP memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan sebarang kegiatan penipuan dalam talian dengan menghubungi BRUCert di talian +673 245 8001 atau e-mel reporting@brucert.org.bn.