Hati-hati lalui kawasan binaan Pan Borneo

SIBU, 24 Mei – Pengguna jalan raya yang kembali ke kampung halaman masing-masing menjelang perayaan Hari Gawai pada 1 Jun dan Hari Raya Aidilfitri, 15 Jun, dinasihatkan untuk memandu dengan lebih berhati-hati di sepanjang projek pembinaan Lebuh raya Pan Borneo.

Pengurus projek Lebuhraya Borneo Utara (LBU) Sdn Bhd bagi jajaran Simpang Bintangor-Julau dan Lapangan Terbang Sibu-Sungai Kua, Liew Hin Leong berkata perkara ini adalah bagi memastikan mereka  selamat sampai ke destinasi masing-masing tanpa sebarang masalah atau kecelakaan.

Menurut beliau, berikutan pembinaan projek itu, keadaan jalan sepanjang jajaran 76.24km itu adalah tidak selesa untuk pemanduan. “Kami ingin memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi oleh pengguna jalan raya. Diharapkan semua pemandu mengamalkan sikap untuk sentiasa berhati-hati,” katanya pada majlis kempen keselamatan jalan raya di pejabat tapak projek dekat Jambatan Batang Rajang di sini hari ini.

Menurut Liew yang terlibat dengan banyak projek pembinaan jalan raya, faktor utama berlakunya kemalangan di kawasan projek pembinaan jalan ialah akibat kecuaian manusia.

Beliau juga menasihati mereka agar tidak memandu laju demi keselamatan diri dan pengguna lain selain pekerja-pekerja projek pembinaan lebuh raya itu.

Sekolah-sekolah di Sarawak akan mula bercuti pertengahan tahun dari 28 Mei hingga 24 Jun ini dan orang ramai dijangka mulai kembali ke kampung pada hujung minggu ini. – Bernama