Hati-hati sebar maklumat tular

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – Dunia sekarang sudah tidak asing lagi dengan perkataan tular dan viral di mana media sosial dan media baharu menjadi medan para pengguna menularkan dan menyebarkan berita dengan cepat dan meluas sama ada dalam bentuk cerita, berita, video mahupun gambar.

Alat-alat komunikasi yang dicipta untuk berhubung seperti komputer dan telefon bimbit yang terkandung di dalamnya Internet, WhatsApp, Instagram, Twitter, Facebook dan sebagainya membolehkan kita menerima, melihat, mendengar maklumat yang disebarkan dengan sekelip mata saja. Namun perkongsian maklumat dan berita yang cepat dan pantas itu juga menyebabkan ramai orang terlupa untuk menapis dan memastikan dahulu kesahihannya, tegas khatib dalam khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Bertanggungjawab dalam Menggunakan Teknologi Maklumat Komunikasi’.

Katanya lagi, “Kini ramai mahu menjadi antara orang yang terawal dan paling cepat berkongsi atau menyebarkan sesuatu perkara, maklumat dan berita, namun apa yang membimbangkan, berita atau maklumat tersebut dikongsi tanpa menyelidiki terlebih dahulu kesahihannya.”

Dalam perkara ini, khatib menyeru untuk sama-sama mengambil langkah berjaga-jaga dan berhati-hati supaya jangan sampai setiap perkara, maklumat, berita atau perkhabaran yang diperolehi tanpa sebarang asas atau bukti yang kukuh itu ditular tanpa usul periksa atau tabayyun iaitu menyelidiki dan menyiasat kesahihannya.

Semua itu, tegas khatib, boleh mengundang kepada fitnah, bala bencana, permusuhan, perselisihan dan sebagainya.

Ambil langkah berjaga-jaga dan berhati semasa menyebarkan maklumat dalam media-media sosial. – Gambar fail AFP

“Sebagai manusia biasa, kadang kala kita mudah alpa akan panduan dan batas-batas yang digariskan oleh agama Islam, kita lupa dosa dan pahala hingga ada terdapat segelintir individu yang menggunakan media-media baharu tersebut sebagai medan atau tempat untuk menabur fitnah dan berniat jahat untuk menjatuhkan maruah serta mendedahkan keaiban seseorang dengan mencipta atau mereka sesuatu perkara yang tidak wujud atau tidak benar,” kata khatib.

Oleh itu, khatib mengingatkan untuk sentiasa bertanggungjawab atas setiap perkara yang disebarkan atau disampaikan supaya ia tidak mendatangkan sebarang pendustaan atau pembohongan walaupun maklumat yang hendak disampaikan itu adalah sesuatu yang sahih atau benar, tetapi dalam masa yang sama ia juga boleh mengundang kepada pelbagai andaian, pandangan, persepsi yang negatif.

Dalam hal ini, jelas khatib, adalah lebih baik untuk me-rahsiakan atau berdiam diri sahaja bagi menghindari perbalahan dan kekecohan dalam kalangan keluarga, masyarakat dan negara kerana Allah menciptakan manusia itu dengan sebaik-baik kejadian iaitu dengan menganugerahkan akal fikiran agar manusia dapat membezakan mana yang benar dan yang salah, antara yang baik dan buruk, selain, dapat mempertingkatkan diri dan mampu mencapai pelbagai kemajuan antaranya mencipta peralatan komunikasi.

Khatib turut mengingatkan tentang akta menyebarkan maklumat palsu merupakan satu kesalahan dan boleh didakwa di bawah seksyen 34 Akta Ketenteraman Awam Penggal 148 yang boleh membawa hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda sebanyak $3,000 jika sabit kesalahan.

Menurut khatib lagi, teknologi maklumat dan komunikasi itu pada dasarnya adalah untuk memberi keselesaan atau memudahkan sesuatu perkara dan urusan tapi jika ia digunakan dengan niat yang betul, ia akan membawa manfaat dan kesejahteraan hidup manakala jika disalahgunakan, ia akan membawa kepada perkara yang sia-sia, merugikan dan boleh mengundang bencana dan perbalahan kepada bangsa, masyarakat dan negara.

Di samping itu, ia juga digunakan untuk membantu masyarakat dalam memperkaya kehidupan melalui pembaikan dalam penyediaan perkhidmatan kesihatan, pembelajaran, kewangan, pertanian, pengangkutan dan pelbagai perkhidmatan lainnya.

Maka, untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kegunaan Internat dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi manfaat masyarakat dan ekonomi, setiap tahun Negara Brunei Darussalam tidak akan ketinggalan mengadakan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia.

Kata khatib lagi, pada 15 Julai lalu, sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Baginda bertitah telah memperkenankan penubuhan Majlis Ekonomi Digital untuk meneroka potensi ekonomi digital yang kreatif bagi tujuan untuk menjadikan negara kita sebagai sebuah negara Smart Nation.

Antara lain Baginda juga menekankan bahawa semua negara tidak terkecuali Brunei Darussalam berada dalam zaman yang serba mencabar.

“Cabaran ini pula pelbagai dan perlu dihadapi dengan cara masing-masing dan cabaran dalaman bagi negara ialah memastikan hidup rakyat dan penduduk dapat diwujudkan melalui pelbagai rancangan.

“Ini seperti memberi rancangan terbaik, penyediaan prasarana yang merangkumi banyak bidang seperti kesihatan, pendidikan, perundangan, pembangunan, perhubungan dan lain-lain di mana semua ini dihasratkan untuk menjamin kehidupan berkualiti, kehidupan berkualiti juga adalah merupakan hak bagi rakyat untuk menikmatinya,” demikian titah Baginda.

“Maka sebagai pengguna dalam teknologi maklumat dan komunikasi hendaklah sentiasa bertanggungjawab menggunakan dengan bijaksana dan dalam perkara yang bermanfaat dan bukan pada perkara yang sia-sia serta elakkan daripada terjerumus ke lembah dosa dan maksiat seperti melemparkan tuduhan, menyebarkan fitnah dan sebagainya dan ingatlah setiap apa yang disebarkan pasti akan disoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak selain penabur fitnah juga tidak akan masuk ke dalam syurga,” tegas khatib semasa mengakhiri khutbahnya.