Hati juga perlukan pakaian

PERNAHKAH kita bertanya pada diri kita, apakah pakaian hati kita semalam, hari ini dan untuk hari-hari esoknya?

Hati juga, seperti mana tubuh badan, perlukan pakaian. Bayangkan jika tanpa pakaian, kita akan kesejukan, kepanasan dan mudah dijangkiti penyakit. Kita akan berasa tidak selesa.

Bukan itu sahaja, tanpa pakaian, kita terdedah kepada bermacam-macam bahaya, bahaya dunia dan bahaya akhirat. Berpakaian juga dianggap salah satu ibadah dalam Islam yang mempunyai nilai dosa dan pahala. Oleh itu, pakaian dianggap sebagai sebahagian nikmat Allah pada kita.

“Dan Allah menjadikan bagi kamu sebahagian daripada yang diciptakanNya, benda untuk berteduh dan Dia menjadikan bagi kamu sebahagian daripada gunung-ganang sebagai tempat berlindung, dan Dia juga menjadikan bagi kamu pakaian yang memelihara kamu daripada panas dan sejuk, juga pakaian yang memelihara kamu ketika berjuang.

Demikianlah Dia menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu berserah diri kepadaNya dan mematuhi perintahNya.” (Surah An-Nahl, ayat 81)

Jika begitu pentingnya pakaian untuk anggota yang zahir, pakaian juga penting untuk hati. Hati sangat dititikberatkan dalam Islam. Hatilah yang menjadi sumber kepada pemikiran, perasaan dan segala perbuatan kita berdasarkan firman Allah dalam Surah Al-Hajj:

“Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, supaya mereka mempunyai hati dapat berfikir atau mempunyai telinga yang dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada.” (Surah Al-Hajj, ayat 46)

Pakaian untuk hati harus memenuhi tuntutan dan keperluan hati, sebagaimana pakaian tubuh badan yang memenuhi keperluan tubuh badan.

Kita dianjurkan memilih pakaian yang baik untuk dipakai. Oleh itu, hati juga harus disarungkan dengan pakaian yang baik seperti mana anggota badan yang zahir.

Apakah pakaian hati terbaik?

Sebelum ke pejabat mahupun ke sekolah, kita sarungkan pakaian yang indah, harum dan cantik di mata yang melihat. Kita pilih jenama terbaik agar diri lebih yakin di khalayak umum.

Kita bukan sahaja mahu kelihatan lebih baik dan lebih cantik daripada orang lain, malah mahu pakaian kita ‘lebih’ dari segenap aspek daripada pakaian orang lain. Kita padankan warna yang sesuai dengan kulit, fabrik yang selesa dipakai dan sesuai dengan cuaca.

Pemilihan pakaian untuk hati sepatutnya melalui cara yang serupa. Sarungkan hati dengan zikrullah dan ketaatan kepada Allah SWT. Hati yang dihiasi rasa cinta pada Allah SWT akan berbau harum, malah lebih harum daripada bau pakaian dan anggota badan yang disemburkan wangi-wangian berjenama mahal.

Sentiasa mengingati Allah merupakan lambang cinta kita padaNya. Sebagaimana kita berpakaian sepanjang masa sama ada kita berbaring, tidur, duduk, berdiri, berlari, makan, minum dan sebagainya, sebegitulah hati kita harus dipakaikan dengan kecintaan dan ingatan pada pemiliknya.

Pakaikanlah zikir qalbi pada hati

Banyak bertasbih dan memuji Allah itu boleh menyucikan hati.”Mereka ingat kepada Allah diwaktu berdiri, duduk dan berbaring..” (Surah Ali Imran, ayat 191)

Dalam pemilihan pakaian, kita tidak akan memilih warna yang tidak sesuai dengan warna kulit atau warna yang tidak kita gemari. Ketahuilah bahawa hati tidak suka pada warna hitam. Warna hitam akan meninggalkan kesan yang gelap pada hati. Hati yang hitam ialah hati yang gelap kerana dicemari dosa. Pilihlah pakaian dari warna yang akan menerangkan hati.

Sekiranya sudah terlanjur mengenakan warna hitam pada hati, buanglah pakaian tersebut jauh-jauh dari pandangan mata hati. Sucikanlah kesan hitam itu dengan taubat dan istighfar.

Pilihan fabrik yang sesuai dengan hati juga penting

Sebagaimana kulit, hati juga sensitif dan mengalami alahan jika kita tidak bijak memilih fabrik yang sesuai. Telitilah unsur yang sesuai bagi fabrik pilihan. Fabrik yang paling sesuai untuk hati ialah dari jenis kebaikan. Hati mudah alah pada kejahatan.

Apabila dikenakan pakaian daripada fabrik kejahatan, hati mudah merasa cemas dan tidak tenang. Masalah alahan ini lama-kelamaan akan menjadi kudis dan bernanah dalam hati sekiranya tidak segera dirawat. Segeralah sapukan krim alahan jika sudah ada tanda-tanda alahan pada hati. Adulah pada doktor Yang Esa dan kembalilah pada fitrah kebaikan yang dicintai hati.

Pakaikanlah hati kita dengan amal kebaikan seperti bersedekah, menjalinkan silaturahim, membaca Al-Quran dan terapi-terapi hati yang baik. Jika pakaian hati kita pada hari ini koyak di sana sini dan bukan daripada jenis fabrik yang berkualiti, tukarkanlah pakaian lain. Jahitlah bahagian yang terkoyak agar hati terlindung dan terpelihara.

Seandainya kita tidak mampu menjaga dan menyediakan pakaian yang sesuai bagi hati, tidak mustahil hati kita tidak akan diserang penyakit-penyakit kronik yang sukar dicari penawarnya. Jika pakaian lahiriah dianggap penting dan besar pahalanya di sisi Allah, begitu juga pakaian hati yakni pakaian batiniah. Oleh itu, hati juga wajib dijaga sepertimana kita menjaga anggota tubuh yang lain.

Penjagaan pakaian hati yang baik dan cemerlang, akan melahirkan muslimin yang lebih yakin diri dan lebih berketrampilan di khalayak manusia dan di sisi Allah, Insya-Allah. “Wahai anak Adam! Sesungguhnya Kami sudah menurunkan kepada kamu (bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan; dan pakaian berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya.” (Surah al-A’raf, ayat 26) – Agensi