Hati terus teguh dalam menjejak Karmila

ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD

 

DIADAPTASI daripada sebuah novel karya Nilam Himawari dan Rizalwan Ramli, Jejak Karmila merupakan sebuah drama arahan Murali Abdullah terbitan Zeel Production Sdn Bhd.

Siri drama tersebut menampilkan gandingan pelakon hebat seperti Mia Ahmad, Ruhainies, Asyraf Ali bersama primadona ulung, Fauziah Dato Ahmad Daud.

Selain itu, Jejak Karmila juga turut dibintangi oleh Amy Mastura, Azri Iskandar, Fauziah Nawi, Ben Ali, Afiq Anuar, Wani De’fam, Nafiz Muaz, Johan As’ari, Tasha Muhamad, Wan Sharmila, Duerra Mitilda, Adriana Fareesha, Amanda Misbun, Rais Hazlin dan Wawa Jasni.

Ia mengisahkan mengenai keteguhan cinta Karmila lterhadap Karim anak kepada hartawan Hamidah lakonan Fauziah Nawi. Karmila menyara hidup dengan bekerja sebagai pembantu rumah keluarga Zaidi.

Siapa sangka, Zaidi dalam diam menyimpan perasaan terhadapnya. Kerana cinta, Karmila berhenti kerja dan ingin berkahwin dengan Karim atas dasar cinta. Namun hubungan itu ditentang oleh Hamidah. Karim yang benar-benar mencintai Karmila memilih untuk keluar dari rumah dan mengahwininya.

Jejak Karmila menampilkan kisah konflik keluarga dan percintaan.
Jejak Karmila menampilkan kisah konflik keluarga dan percintaan.

Namun, Karim lebih cenderung dengan kehidupan bebas dan aktiviti-aktiviti negatif. Karmila terpaksa bekerja di sebuah kedai jahit milik Kak Shikin untuk menyara hidup keluarganya.

Suraya lakonan Mia Ahmad dan Nonie lakonan Ruhainies yang masih bersekolah dan memerlukan perhatian Karmila dan Karim sebagai ibu bapa. Konflik terjadi sehingga Karmila dihukum penjara selama 20 tahun kerana membunuh suaminya tanpa sengaja demi menyelamatkan anaknya, Suraya dan Nonie. Hampir 20 tahun meringkuk dalam penjara, jiwa dan hatinya sudah lali dengan keadaan itu, tetapi masih bersemangat untuk menjejaki anaknya setelah sudah sekian lama terpisah.

Sementara itu, Suraya yang bekerja sebagai wartawan jenayah turut berusaha menjejaki ibunya, Karmila tanpa mengetahui si ibu berada dalam penjara. Dari situ terjadi juga konflik cinta tiga segi antara dua beradik, Suraya dan Nonie dengan Syed Haikal.

Lalu, untuk mengetahui kesudahan kisah dalam siri drama ini jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Jejak Karmila yang ditayangkan pada setiap hari Rabu hingga Jumaat pada jam 9.00 malam di saluran TV3.