Hatrik Aubameyang tenangkan Arteta

LONDON, 26 OGOS – Mikel Arteta berharap kehadiran semula Pierre-Emerick Aubameyang (gambar – tengah) dapat membantu Arsenal selepas penyerang itu beraksi kali pertama musim ini meledak hatrik ketika membelasah West Bromwich Albion 6-0 dalam perlawanan pusingan kedua Piala Liga semalam.

Aubameyang tidak beraksi ketika tewas mengejut di Brentford pada perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas dijangkiti COVID-19.

Kapten Arsenal itu diturunkan sebagai pemain gantian ketika tewas 0-2 kepada Chelsea di tempat sendiri Ahad lalu tetapi gagal membantu pasukannya dalam pembukaan musim paling buruk dalam sejarah Arsenal.

Dengan tekanan yang dihadapi pengurus Arsenal, Arteta, kini Aubameyang muncul sebagai penyelamat ketika menentang kelab Liga Kejuaraan, Albion di The Hawthorns.

Dia meledak gol pertama untuk Arsenal musim ini dengan dua jaringan dari jarak dekat pada separuh masa pertama sebelum melakar hatrik dengan rembatan cantik selepas rehat.

Nicolas Pepe, Bukayo Saka dan Alexandre Lacazette turut menjaringkan gol sekali gus mengurangkan tekanan terhadap Arteta.

Aubameyang kemudian menghadi-ahkan jersinya kepada penyokong muda Arsenal yang menyaksikan perlawanan semalam.

Ketika ditanya sama ada kehadiran semula penyokong mampu menyumbang peningkatan prestasi Aubameyang, Arteta berkata, “Saya harap begitu. Jelas dia sangat gembira dan dia perlukan hubungan itu; dengan keluarga dan penyokong.

“Anda nampak interaksi itu ketika dia meninggalkan padang dan saya fikir ia sangat positif untuknya.’’

Arteta mengakui dia sangat lega dengan kemenangan itu menjelang misi getir menentang juara EPL, Manchester City, Sabtu ini.

Laporan sebelum menentang West Brom mendakwa Arsenal membayangkan bekas pengendali inter Milan, Antonio Conte menggantikan Arteta jika prestasi terus merosot.

“Apabila anda tewas, anda perlu bangkit segera untuk menang,’’ kata Arteta. – AFP