Saturday, March 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hatrik Ben Yedder benam Maribor

    SEVILLE, 27 Sept – Penyerang Perancis, Wissam Ben Yedder mencipta hatrik ketika Sevilla melonjak ke kedudukan teratas Kumpulan E Liga Juara-Juara dengan kemenangan mudah 3-0 ke atas juara Slovenia, Maribor awal pagi tadi.

    Ben Yedder membuat dua penyudah klinikal dari jarak dekat sebanyak dua kali dalam tempoh 11 minit separuh masa pertama bagi memberikan pasukan tuan rumah dalam laluan kemenangan sebelum melengkapkan hatriknya dengan menyempurnakan penalti ketika perlawanan berbaki tujuh minit.

    Keputusan Liverpool seri 1-1 di Spartak Moscow menyaksikan pasukan dari Sepanyol itu mengungguli kumpulan dengan empat mata, sementara Liverpool dan Spartak berkongsi dua mata.

    “Ia adalah kemenangan meyakinkan,” kata bos Sevilla, Eduardo Berizzo.

    “Kami menguasai bola dengan baik dan mempercepatkan permainan di masa yang tepat.

    Penyerang Sevilla, Wissam Ben Yedder menjaringkan gol pembukaan pasukannya dalam aksi Kumpulan E Liga Juara-Juara menentang Maribor. – AP

    “Di separuh masa kedua, kami membuat lebih banyak serangan dan memenangi perlawanan dengan dominan.”

    Kemasukan Ben Yedder merupakan antara lapan perubahan yang dibuat oleh Berizzo dari kekalahan 2-0 di Atletico Madrid.

    Dan Sevilla mempamerkan lebih banyak ancaman di kawasan lawan, di mana dia dan Joaquin Correa diturunkan di barisan depan.

    Kedua pemain itu bergandingan bagi gol pembukaan, menyaksikan Correa membuat larian solo dan kemudian membuat hantaran ke belakang menemui Ben Yedder dari jarak dekat.

    Beberapa gerakan menarik menyaksikan Sevilla menggandakan kelebihan mereka tujuh minit sebelum rehat apabila Ben Yedder menyambut hantaran Franco Vazquez di dalam petak sebelum merembat masuk bola.

    Sevilla gembira dengan memperlahankan permainan selepas rehat dengan tiga mata penuh sudah pasti.

    Namun Ben Yedder mempunpyai peluang untuk menjadikan jaringannya kepada enam gol daripada empat perlawanan Liga Juara-Juara musim ini apabila Sebastien Corchia dijatuhkan dalam petak.

    Dan penyerang itu tidak mengecewakan apabila menewaskan Jasmin Handonovic dengan rembatan ke sudut bawah kiri gawang. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda