Hatrik Gnabry julang Jerman

FRANKFURT, 20 NOV – Serge Gnabry berkata Jerman akan ke pusingan akhir Euro 2020 dengan rasa yakin selepas dia merakam hatrik ketika pasukannya membelasah Ireland Utara 6-1 awal pagi tadi yang memastikan kedudukan teratas Kumpulan C.

Walaupun sudah layak ke Euro 2020 awal pagi Ahad lalu apabila menewaskan Belarus, kemenangan besar di Frankfurt bermakna Jerman menamatkan kempen kelayakan dengan dua mata di depan Belanda.

Belanda juga layak minggu lalu, manakala Ireland Utara berkedudukan ketiga dan akan ke playoff untuk layak ke pu-singan akhir Euro 2020. Gnabry kini mengumpul 13 gol dalam saingan antarabangsa apabila Ireland ditunjukkan gaya permainan terbaik Jerman.

“Kami bermain bola sepak dengan sangat baik,” kata Gnabry yang dikeluarkan pada minit ke-80.

“Kami akan ke pusingan akhir dengan yakin bersama rentetan perlawanan yang bagus. Pasukan ini masih muda tetapi kami sudah merasai banyak keseronokan.”

Rakan sepasukannya di Bayern Munich, Leon Goretzka menamatkan saingan dengan dua gol sebelum pemain sayap Dortmund, Julian Brandt mencatat gol keenam Jerman selepas itu.

“Bagi kami, ia seperti Kejohanan Eropah di laman sendiri pada peringkat kumpulan,” kata Goretzka dengan Jerman dijangka bermain tiga saingan awal di Munich dengan Euro 2020 akan dianjurkan 12 bandar utama seluruh Eropah. – AFP

Aksi Gnabry ketika mengawal bola semasa perlawanan kelayakan Kumpulan C di antara Jerman dan Ireland Utara di Commerzbank Arena di Frankfurt, Jerman. – AP