Thursday, October 10, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hatrik Haaland bawa City ke puncak EPL

    LONDON, 1 SEPT – Erling Haaland membawa Manchester City ke puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan hatrik kedua berturut-turut dalam kemenangan 3-1 di West Ham, semalam.

    Pemain Norway itu menewaskan Ipswich pada hujung minggu lalu dan menyusuli dengan satu lagi hatrik untuk membawa jumlah golnya kepada 70 gol dalam 69 perlawanan Liga Perdana sejak menyertai City dari Borussia Dortmund.

    City telah memulakan usaha mempertahankan gelaran mereka dengan cara yang mengancam bagi pasukan yang ingin menyingkirkan anak buah Pep Guardiola selepas memenangi liga selama empat musim berturut-turut.

    Juara Inggeris itu adalah satu-satunya pasukan setakat ini yang memenangi ketiga-tiga perlawanan pembukaan mereka sebelum rehat antarabangsa akan datang, dibantu aksi Haaland yang cemerlang.

    “Tiada kata-kata untuknya. Apa yang boleh kami lakukan adalah membuatnya bermain dengan lebih baik dan memberikannya sebanyak mungkin bola ke dalam kotak penalti,” kata Guardiola.

    Erling Haaland (kiri) menjaringkan gol ketiga pasukannya semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara West Ham United dan Manchester City di Stadium London di London, England, pada 31 Ogos. – AP

    Bos City itu sekali lagi mampu meninggalkan Rodri, John Stones dan Kyle Walker di bangku simpanan selepas usaha mereka mara ke final Euro 2024, manakala Phil Foden terlepas perlawanan kedua berturut-turut kerana sakit.

    Berbeza dengan kebanyakan rakan sepasukannya yang beraksi di Euro dan Copa America, Haaland mendapat cuti musim panas daripada tugasan antarabangsa dan kelihatan cergas semasa saingan.

    “Saya rasa baik, saya rasa bertenaga. Saya mempunyai cuti panjang dan pramusim,” kata Haaland.

    “Awda perlu menenangkan badan dan minda awda kerana ia adalah musim yang panjang.

    Ia tidak semudah yang difikirkan orang. Saya berasa cergas dan itu yang paling penting.”

    Selepas menjaringkan gol dalam kemenangan pembukaan hujung minggu di Chelsea dan meledak hatrik ke-10 City menentang Ipswich, Haaland kini mencatat rekod tujuh gol Liga Perdana dalam tiga perlawanan pertama musim. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda