Hatrik Martial kekal rekod tanpa kalah

LONDON, 25 JUN – Manchester United hanya perlukan dua mata sahaja lagi untuk mendapatkan tempat empat teratas liga, terima kasih atas jaringan hatrik Anthony Martial memberi kemenangan 3-0 ke atas Sheffield United pada perlawanan semalam sebelum Liverpool menuju ke gelaran pertama mereka dalam 30 tahun semakin dekat.

Meskipun United terlalu jauh untuk merebut gelaran juara, tetapi momentum persembahan mereka semakin meningkat di bawah kendalian pengurus Ole Gunnar Solskjaer ketika mereka melanjutkan pencapaian rekod tanpa kalah mereka ke 13 perlawanan.

Martial menghasilkan dua jaringan awal sebelum separuh masa pertama untuk mendahului perlawanan.

Sheffield United merupakan pasukan yang hebat pada bulan Mac lalu sebelum bola sepak ditutup selama tiga bulan, tetapi mereka kini hanya mengutip satu mata dan gagal menjaringkan gol dalam tiga perlawanan mereka sejak musim dimulakan semula.

United merasakan berpuas hati apabila jaringan Martial melengkapkan hatrik karier pertamanya melalui hantaran Marcus Rashford.

Reaksi Anthony Martial semasa meraikan jaringan gol ketiganya di perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Manchester United dan Sheffield United di Old Trafford, Manchester, England, semalam. – AP

Tempat kelima masih cukup baik untuk menempah tempat ke Liga Juara-Juara musim depan, bagaimanapun ia bergantung kepada keputusan rayuan Manchester City terhadap larangan dua musim mereka dari menyertai pertandingan Eropah.

Di samping itu, Wolves berkongsi mata dengan United di tangga kelima, meneruskan kempen mereka dengan kemenangan 1-0 ke atas Bournemouth dan sebelum ini Wolves meraih kemenangan 2-0 di West Ham Sabtu lalu, Adama Traore dan Raul Jimenez masing-masing telah menjaringkan sebanyak 24 gol musim ini. Kekalahan Bournemouth mengekalkan mereka di kedudukan tiga tercorot di liga.

Sementara itu harapan Norwich untuk keluar dari zon penyingkiran sekarang kelihatan semakin sukar setelah mengalami kekalahan kedua dalam seminggu ini.

Michael Keane menjaringkan satu-satunya gol ketika Everton menang 1-0 menentang Norwich di Carrow Road. Norwich enam mata dari zon selamat. – AFP