MADRID, 30 Jan – Rodrigo meledak hatrik yang sekali gus menyaksikan Valencia layak ke separuh akhir Copa del Rey, selepas bangkit menumpaskan Gatafe yang terpaksa beraksi 10 pemain dengan kemenangan secara agregat, 3-2, hari ini.
Valencia yang turun dalam perlawanan itu dengan harapan untuk kembali bangkit setelah kalah 0-1, dalam saingan pusingan pertama sekali gus membangkitkan peluang untuk merangkul trofi utama sejak menjuarai Copa del Rey, 11 tahun lalu.
Tiga jaringan peribadi yang dicipta oleh Rodrigo termasuk dua gol pada masa kecederaan membolehkan skuad kendalian Marcelino itu melangkah ke separuh akhir dan akan menentang pemenang antara Real Madrid atau Girona, selepas melakar kemenangan 3-1, dalam perlawanan pusingan kedua itu.
“Kami mempamerkan watak yang sebenar. Kami percaya dengan kebolehan kami selain mendapat sokongan daripada para penyokong. Kami adalah pejuang di atas padang,” kata Rodrigo kepada BeIN Sports.
Walau bagaimanapun, harapan tuan rumah hampir musnah apabila dikejutkan dengan gol seawal minit menerusi Jorge Molina, yang menjaringkan satu-satunya gol pada perlawanan pertama hujung minggu lalu, sekali gus meletakkan pelawat di hadapan. – AFP

































