Hatrik Sancho benam Paderborn

BERLIN, 1 JUN – Pemain sayap England, Jadon Sancho menjaringkan hatrik sambil menanggalkan baju luarnya yang menunjukkan ungkapan bertulis “Justice for George Floyd” pada baju dalamnya semasa kemenangan Borussia Dortmund menentang pasukan tercorot Bundesliga Paderborn 6-1 semalam, merapatkan jurang kedudukan mereka dengan Bayern Munich yang berada di tempat pertama Bundesliga.

Sancho meneruskan lagi aksi cemerlangnya, di mana kini beliau telah menjaringkan 17 gol dan 17 assist di semua perlawanan Bundesliga musim ini. Beliau turut menyertai tunjuk perasaan terhadap kematian seorang lelaki kulit hitam yang tidak bersenjata di Amerika Syarikat.

Sancho kemudian menulis di laman Instagramnya “Sangat gembira menjaringkan hatrik pertama saya, saat yang menggembirakan secara peribadi kerana terdapat banyak perkara penting yang berlaku di dunia hari ini yang mesti kita atasi dan bantu melakukan perubahan.”

Pemain antarabangsa Maghribi, Achraf Hakimi mengangkat jersinya untuk menyampaikan pesanan yang sama seperti Sancho setelah menjaringkan gol keempat buat Dortmund di Paderborn.

George Floyd, 46, meninggal dunia di Minneapolis semasa penangkapan pegawai polis dengan kasar selepas polis itu menekan lehernya selama beberapa minit sehingga dia sukar bernafas dan meninggal dunia, mencetuskan kemarahan dan tunjuk perasaan di seluruh AS.

Kelmarin, penyerang Perancis dari Borussia Moenchengladbach, Marcus Thuram berlutut dalam protes menuntut mahu keadilan terhadap kematian Floyd.

Pemain tengah Amerika Schalke, Weston McKennie memakai gelang tangan bertulis “Justice for George.”

Dortmund yang berada di tempat kedua di Bundesliga memastikan harapan mereka untuk bertahan ketika Sancho mencuri perhatian meskipun penyerang remaja mereka, Erling Braut Haaland diketepikan disebabkan kecederaan kaki. – AFP

Reaksi Jadon Sancho semasa meraikan jaringannya dengan menanggalkan bajunya ketika perlawanan menentang SC Paderborn 07 di Benteler Arena di Paderborn, semalam. – AFP