Havana benarkan pengawasan elektronik

HAVANA, 28 NOV – Cuba membenarkan agensi keselamatan negara itu untuk menggunakan pengawasan elektronik tanpa perlu mendapatkan kebenaran dari mahkamah terlebih dulu.

Langkah ini mengundang kritikan keras Amerika Syarikat (AS) yang menuduh Havana cuba mengintip pembangkang dan pelancong asing. Havana berkata, undang-undang baharu akan menjadikan fungsi polis lebih berkesan dalam membanteras dan berdepan jenayah pengubahan wang haram serta pembiayaan aktiviti pengganas.

Langkah itu diperkenalkan susulan penggubalan Kanun Keseksaan negara Komunis itu minggu lalu. Bagaimanapun, penyiasat perlu lebih dulu meminta kebenaran pengawasan daripada peguam negara.

“Ini adalah amalan di seluruh dunia. Cuma bezanya, di mana saja negara di dunia, anda perlu mendapatkan kebenaran daripada seorang hakim sedangkan di Cuba ia adalah antara polis dan pejabat pendakwa raya,” kata penganalisis perlembagaan, Julio Fernandez Estrada kepada AFP.

Pengawasan elektronik akan membenarkan penyiasat mendengar perbualan yang dirakam, mengesan dan menjejaki suspek, mengambil gambar, video dan mengawasi semua jenis teknologi komunikasi.

AS yang terbabit dalam skandal pengintipan besar-besaran pada 2013, selepas bekas kakitangan Agensi Perisikan Pusat, Edward Snowden membocorkan rahsia negara, mengecam undang-undang baharu yang membolehkan pengawasan dilakukan di Cuba.

“Rejim itu boleh dan sememangnya mengekori, memerhati dan mengintip sesiapa saja di Cuba dengan berselindung di sebalik alasan mengurangkan jenayah,” kata Duta AS ke Amerika Latin, Michael Kozak.

“Pelancong luar boleh memilih untuk berkunjung atau tidak ke Cuba dan sekali gus mendedahkan diri mereka kepada pencerobohan privasi. Malangnya tiada pilihan buat warga Cuba. – AFP