Havertz bincang perpindahan ke Chelsea

BERLIN, 4 SEPT – Kai Havertz meninggalkan kem Jerman hari ini untuk melakukan perjalanan ke London bagi menyelesaikan perpindahannya dari Bayer Leverkusen ke pasukan Liga Perdana Chelsea, yang dilaporkan menelan belanja sekitar 100 juta euro (AS$120 juta).

Menjelang perlawanan Liga Negara-Negara dengan Switzerland, ketua jurulatih Jerman, Joachim Loew, membenarkan pemain berusia 21 tahun itu meninggalkan kem mereka untuk menyelesaikan perkara tersebut.

“Sudah tentu, kami lebih suka jika dia dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pasukan kebangsaan, tetapi kami menyedari pentingnya Bayer Leverkusen dan Kai,” kata pengarah pasukan Jerman, Oliver Bierhoff kepada laman web FA Jerman.

Havertz yang melakukan perjalanan ke London, dilaporkan bertujuan bagi pemeriksaan kesihatannya untuk kelab Chelsea, selepas berada di bangku simpanan pada perlawanan kelmarin menentang Sepanyol di Stuttgart dengan keputusan 1-1.

Selepas menjaringkan 46 gol dalam 150 permainan kompetitif untuk Leverkusen, Havertz akan bergabung dengan rakan sepasukannya di Jerman, Timo Werner, yang menandatangani kontrak dengan Chelsea pada bulan Jun dari pasukan Bundesliga, RB Leipzig dengan harga 53 juta euro. – AFP