Pantas mendaki tangga populariti, pengacara muda TV3, Hawa Rizwana Ahmad Redzuan tidak mampu mengelak menjadi bahan gosip tatkala nama menjadi sebutan ramai.
Digosip menjalin hubungan istimewa dengan pelakon dan pelawak, Zizan Razak, gadis berusia 25 tahun ini, menafikan perkara itu, malah mengaku tidak terfikir mencari teman lelaki.
“Orang kata saya rapat dengan Zizan… Sebenarnya, tidak betul. Kami hanya berjumpa kerana mempunyai minat dalam sukan basikal.
“Buat masa ini, saya selesa berkawan dengan sesiapa sahaja. Saya tidak terfikir hendak mencari (pasangan), sebab terlalu sibuk dengan karier dan pada masa sama, masih belajar,” katanya kepada media.
Hawa enggan gopoh mencari cinta lalu menolak dakwaan konon menjalin hubungan intim dengan mana-mana selebriti lelaki.
Tambahnya, bukan soal tidak mahu mencari pasangan, namun, dia lebih selesa untuk tidak didekati mana-mana jejaka. Hawa yang mengendalikan program Wanita Hari Ini (WHI) mahu lebih fokus membina kerjaya sebelum memikirkan soal cinta.
Ditanya ciri-ciri jejaka yang menarik perhatiannya, Hawa berkata, sebagai individu realistik, dia mengharapkan lelaki bertanggungjawab.
“Saya tidak pernah meletakkan syarat jenis pekerjaan, cuma apa yang penting, dia mesti bertanggungjawab. Dia juga mesti setia dan menerima saya seadanya. Bagi saya, semua wanita ada impian sama,” katanya.
Bertanya mengenai minatnya dalam sukan basikal, Hawa menolak pandangan pembabitannya dalam sukan itu sekadar mengikut aliran.
“Saya memang suka berbasikal sejak kecil. Jadi tidak timbul sekadar mengikut ‘trend’. Apabila bertemu rakan-rakan yang berkongsi minat sama, secara tidak langsung membolehkan saya kembali aktif. Mulanya hanya meminjam basikal rakan, apabila sudah sesuai barulah saya membeli basikal sendiri,” katanya.
Tidak menafikan menerima kecaman warganet apabila berbasikal, Hawa akur dengan kritikan mengenai pakaian yang dipakai ketika melakukan aktiviti riadah itu.
“Alhamdulillah, saya tidak marah dengan kritikan diterima. Saya anggap teguran itu akan memperbaiki saya. Ketika ini, saya berusaha mencari pakaian sesuai dan selamat,” katanya. – Agensi