Hayabusa2 cuba mendarat di asteroid

TOKYO, 21 Feb – Sebuah kapal angkasa Jepun memulakan pendekatannya untuk mencapai asteroid dalam misinya bagi mengumpul bahan yang dapat memberi petunjuk kepada asal-usul sistem solar dan kehidupan di Bumi.

Bagaimanapun, pesawat itu masih belum membuat pendaratan, di mana ia dijadualkan dilakukan pagi hari ini, berikutan penangguhan pelepasannya selama kira-kira lima jam untuk pemeriksaan keselamatan, menurut Agensi Jelajah Aeroangkasa Jepun.

Selepas ia mendarat nanti, kira-kira hanya beberapa saat sahaja yang diperlukan untuk melakukannya, Hayabusa2 akan memanjangkan paip dan melepaskan peluru menuju asteroid untuk meledakkan bahan dari bawah permukaan.

Sekiranya semuanya berjalan dengan jayanya, pesawat itu akan mengumpul sampel yang akhirnya akan dihantar kembali ke Bumi. Percubaan hari ini merupakan yang pertama dari tiga percubaan seperti yang dirancang.

Pendaratan sementara itu akan berdepan dengan keadaan yang sukar dengan permukaannya yang tidak rata dan berbatu-batu. Walau bagaimanapun, Hayabusa2 telah direka khas untuk mengelakkan pelbagai rintangan dari lingkaran diameter 6-meter (20 kaki).

Pengawal agensi ruang angkasa akan mengarahkan pendekatannya sehingga 500 meter (1,600 kaki) di atas permukaan asteroid, selepas itu ia akan beroperasi secara automatik. – AP

Imej grafik komputer yang disediakan oleh Agensi Jelajah Aeroangkasa Jepun (JAXA) menunjukkan kapal angkasa Hayabusa2 menghampiri asteroid. – AP