Hayati fungsi penubuhan ASEAN

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Bagi menggalakkan penuntut sama-sama menghayati fungsi dan tujuan penubuhan ASEAN, Jabatan Penerangan melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI mengadakan Jerayawara Kenali ASEAN di Sekolah Sukan, hari ini.

Taklimat yang berlangsung di Dewan Teater Kuliah, Sekolah Sukan itu dihadiri oleh kira-kira 133 orang pelajar Tahun 7 dan 8 termasuk Timbalan Pengetua Sekolah Sukan, Hajah Nor Aisah binti Haji Mohd Salleh serta tenaga pengajar sekolah berkenaan.

Semasa acara itu, Taklimat Kenali Negara ASEAN disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan, Awang Abdul Karim bin Hamdan di mana beliau menerangkan mengenai sejarah penubuhan dan peranan ASEAN

Pada majlis itu juga, para penuntut berpeluang menyaksikan tayangan klip video mengenai ASEAN dan menjawab soalan kuiz ASEAN yang dikendalikan oleh Pegawai Luar Penerangan, Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan, Haji Abdul Hanif bin Haji Abdul Rahim.

Taklimat bertujuan untuk memberigakan dan membuat pendedahan meluas mengenai maklumat asas berhubungan ASEAN kepada penuntut sekolah menengah di negara ini kerana mereka merupakan golongan belia yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya berperanan penting dalam memangkin hala tuju negara ini.

Ia juga dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan penuntut-penuntut sekolah mengenai ASEAN selain untuk mengenal pasti sejauh mana para penuntut mengetahui tentang ASEAN dan peranan organisasi dalam membangunkan negara-negara anggotanya.

Taklimat itu juga dapat menanamkan kesedaran dan rasa milik dalam kalangan para penuntut sekolah sebagai satu masyarakat ASEAN, selaras dengan Moto ASEAN iaitu ‘Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti’.

Awang Abdul Karim ketika menyampaikan taklimat Kenali Negara ASEAN.
Antara pelajar Sekolah Sukan yang menghadiri taklimat, kelmarin.