Hayati seni tenunan judogi

KASHIWARA, JEPUN – Pakaian seragam atau uniform judo dibuat di seluruh dunia, tetapi hanya segelintir pembekal sahaja telah dilantik oleh persekutuan antarabangsa sukan.

Daripada jumlah tersebut, hanya satu yang menenun kainnya sendiri.

Ditubuhkan kira-kira satu abad lalu, Kusakura di barat bandar Jepun Kashiwara, masih menggunakan proses yang lebih menjerihkan dan memakan masa, bukan sahaja mengendali proses menenun, tetapi juga memotong dan menjahit.

Namun presidennya Masahiko Miura berkata kerja tambahan itu adalah berbaloi.

“Ia sukar untuk digambarkan, ia bukan sahaja mengenai tenunan mesin, wujudnya jiwa di dalamnya,” beritahunya kepada AFP.

“Kami tidak akan melepaskan tenunan selama kami menghasilkan judogis.”

Seorang pekerja pengeluar peralatan seni mempertahankan diri Jepun Kusakura memeriksa mesin tenunan vintaj yang digunakan untuk membuat fabrik pakaian seragam judo di kilang di Kashiwara, Osaka. – AFP
Pekerja Kusakura memeriksa fabrik yang ditenun untuk pakaian seragam judo di kilang di Kashiwara, Osaka. – AFP

Gambar Jigoro Kano (tengah) dipamerkan di pejabat Kusakura di Kashiwara, Osaka. – AFP

Pakaian seragam judo, atau judogi, terdiri daripada jaket putih yang diikat dengan obi atau tali pinggang dan seluar putih.

Di Kusakura, yang bermula sebagai syarikat menenun dan menjahit pada 1918, fabrik judogi paling berkualiti ditenun oleh alat tenun berusia berdekad-dekad lamanya dengan cuban kayu dipasang yan yang diselang-seli menerusi benang menegak.

Mesin mengagumkan itu membentuk sebahagian daripada tradisi lama firma tersebut, namun mengekalkan operasi mereka juga tidak senang disebabkan model tersebut tidak dikeluarkan lagi sekarang.

Ini bermakna pekerja Kusakura sentiasa mencari alat ganti, selalunya berusaha untuk mendapatkan alat ganti jika mereka mendengar mana-mana syarikat tekstil akan ditutup.

Ketua pengeluaran Yoshifumi Hayakawa berkata fabrik yang ditenun oleh mesin vintaj kelihatan menonjol, dengan pelanggan sering memuji teksturnya yang halus.

“Kami mahu terus menghasilkan fabrik kami dengan tradisi lama ini untuk tempoh 10, 20 atau 100 tahun akan datang,” kata beliau.

Sebaik sahaja fabrik ditenun dari kapas, ia diperiksa dengan tangan oleh pekerja yang mencari tanda-tanda kotoran atau kecacatan lain, kemudian memotong dan menjahit dengan teliti, dengan penyelarasan dibuat sehinggalah satu milimeter.

Firma itu, dengan logo S melambangkan pokok kebangsaan Jepun sakura, menghasilkan 150,000 judogi setahun.

Namun hanya 17,000 yang dikeluarkan di Jepun menggunakan fabrik dari alat tenun vintaj dan moden. Sebilangan kecil yang menggunakan fabrik yang ditenun secara eksklusif dengan mesin turun-temurun atau pusaka.

Judogi yang berkualiti tinggi ini dipanggil Dojin, atau master, dijual dengan harga 50,000 yen satu set, sementara pakaian seragam atau uniform yang dibuat di China oleh firma berharga dari 10,000 yen hingga 23,000 ten untuk set pertandingan yang lebih serius.

Firma itu mempunyai kira-kira 30 peratus daripada pasaran judogi di Jepun dan mengeksport ke 20 buah negara, walaupun pandemik koronavirus telah menghentikan hantaran.

Di bilik pameran Kusakura di Tokyo, puluhan judogi digantung untuk dicuba oleh pelanggan, dengan sampel dicuci sekurang-kurangnya tiga kali untuk menunjukkan bagaimana fabrik akan mengecut.

Ramai pelanggan mahu pakaian yang lebih ketat, meninggalkan pencabar kurang kain untuk disambar, tetapi Persekutuan Judo Antarabangsa mempunyai peraturan ketat mengenai panjang, lebar dan butir-butir lain, kata Atsushi Ebisawa, yang mengurus bilik pameran.

Javier Pallejero, seorang warga Sepanyol berusia 32 tahun yang mengunjungi bilik pameran itu berkata ‘sensei’ atau gurunya memakai judogi firma dan beliau mendapati pakaian seragam itu lebih ringan berbanding dengan yang lain.

“Saya berharap semasa pertandingan ia akan membantu saya mempunyai tekstur ringan dan berupaya mempamerkan teknik,” kata beliau.

Untuk sesetengah pekerja di Kusakura, pengeluaran dan jualan judogi adalah lebih daripada satu pekerjaan.

Jurujual veteran Kazunori Ohira, yang mengamalkan judo sejak beliau berusia 10 tahun, masih menukar sut perniagaannya dengan judogi – dibuat oleh Kusakura sudah tentunya – untuk mengajar judo kepada kanak-kanak selepas kerja.

Beliau juga secara peribadi mengikuti jualan judogi dengan mengunjungi sebuah kelab di sebuah sekolah tinggi tempatan dan menyaksikan kanak-kanak apabila mereka mengambil bahagian dalam kejohanan.

“Saya telah menguruskan kanak-kanak di sini lebih daripada 20 tahun lamanya,” beritahu lelaki berusia 44 tahun itu kepada AFP.

“Anda tidak akan pasti sehingga anda melihat mereka dalam perlawanan sama ada anda memberikan saiz judogi yang betul,” kata beliau.

“Ia sentiasa dalam fikiran saya…ia menjadi tugas saya untuk pergi dan menyaksikan perlawanan.”

Hormat ialah dasar utama judo, dan pelajar diwajibkan menunjukkannya untuk pakaian seragam mereka, serta ibu bapa yang membayar untuk mereka, dan pencabar yang membantu mereka berkembang menjadi lebih kuat, jelas Ohira.

“Ia dianggap biadap apabila memijak judogi atau obi yang terletak di atas lantai,” kata beliau.

“Di Jepun, judo masih lebih merupakan ‘sejenis seni mempertahankan diri’ daripada sukan semata-mata.” – AFP