Hayati warisan muzik menerusi alat 3D

PARIS – Apabila Mina Jang memainkan lagu merdu yang sama dengan dua seruling berlainan di belakang satu skrin, beliau berkata pemeriksa yang memberikan gred kepadanya tidak dapat membezakannya.

Namun kedua-dua alat muzik tersebut dibuat dalam cara yang amat berlainan.

Satu adalah versi seruling asli buatan tangan pada awal abad ke-18 yang dibuat pada tahun 2001, sementara yang satu lagi dibuat daripada plastik warna putih dan ‘diklon’ menggunakan pencetak 3D pada tahun 2019.

Muzium Muzik di Paris, di mana koleksi mereka termasuk seruling berusia 2,500 tahun yang dibuat daripada tulang burung hering, baru-baru ini mula menguji teknik tersebut dalam usaha untuk memelihara lebih baik alat muzik zaman dahulu.

“Ideanya adalah mengetahui cara-cara memperoleh salinan sesuatu alat muzik dengan cepat sementara menghormati seruling asli,” kata pemain flut profesional berusia 35 tahun dan penyelidik dalam muzik barok, yang mengemukakan idea tersebut.

Percetakan 3D mempunyai kelebihan berbanding alat buatan tangan yang mengambil masa 24 jam untuk menghasilkannya berbanding dengan alat dibuat dalam bengkel. – AFP

Sebelum dicetak, salinan seruling abad ke-18 itu didedahkan kepada sinar-x untuk mengenal pasti ciri-cirinya yang sebenar.

Seruling yang asli dibuat oleh penggubah dan pembuat alat muzik Perancis terkemuka Jacques-Martin Hotteterre dan ia dipelihara di sebalik kaca di muzium pada hari ini.

Percetakan 3D mempunyai kelebihan berbanding alat muzik buatan tangan, mengambil hanya 24 jam untuk dihasilkan, berbanding dengan satu bulan dalam bengkel, dan berharga ratusan dan bukannya ribuan euro.

Namun Stephane Vaiedelich, yang bertanggungjawab terhadap makmal muzium yang bekerja bersama rakan lain dalam projek itu, berkata tindakan tersebut hanyalah semata-mata memelihara warisan muzikal.

“Percetakan 3D bukan mengenai mengganti pembuat alat muzik,” beritahunya kepada AFP.

“Ideanya adalah mencipta semula alat bersejarah supaya orang awam boleh menghargai bunyinya dan juga memulihkan satu warisan yang penting.

“Ia merupakan satu cara yang luar biasa untuk mengimbau kembali kenangan lampau dan melahirkan semula repertoir lama

Sementara percetakan 3D telah menjadi semakin popular dalam pelbagai sektor berlainan dalam tempoh 20 tahun lalu, termasuk menghasilkan semula alat, Vaiedelich berkata muzium itu percaya ia adalah muzium pertama yang menguji penghasilan semula alat muzik lama 3D dengan menggunakan pendekatan saintifik.

Beberapa orkestra menggunakan alat asli dari zaman lama, seperti kumpulan Perancis Les Siecles (The Centuries), tetapi alat tiup bergelut untuk bertahan daripada kelembapan.

“Ia mengembangkan kayu dan boleh memecah alat berkenaan,” kata Vaiedelich.

Muzium itu memilih untuk meniru seruling melintang, disebabkan tidak seperti obo, kebanyakan nafas pemuzik melalui bahagian luar alat muzik.

“Bahan yang digunakan mempunyai impak yang kurang ke atas suara,” kata Vaiedelich.

Menggunakan plastik untuk alat yang dihasilkan semula menerusi 3D juga menimbulkan isu alam sekitar. Vaiedelich berkata perkara paling baik adalah mencetak menggunakan bahan yang boleh dikitar semula.

Fanny Reyre Menard, naib presiden kumpulan perniagaan yang mengumpul bersama pembuat dan tukang baiki alat muzik, berkata bahan yang digunakan merupakan satu-satunya kelemahan yang dihadapi.

“Bagi tukang yang mahir, plastik tidak dapat dibandingkan dengan kayu,” kata beliau.

“Satu peti suara kayu ada;ah penting untuk alat violin.”

Bagaimanapun, pada keseluruhannya Menard berkata percetakan 3D menawarkan satu peluang.

“Ia bukan satu risiko, sebaliknya satu alat yang amat baik untuk berkongsi maklumat dan prototaip di antara tukang yang mahir,” kata beliau.

Alat muzik ada kalanya perlu ditempah khas untuk pemuzik dengan keperluan berlainan.

“Sesetengah bahagian dipertingkatkan apabila disesuaikan, misalnya tempat rehat dagu untuk violin dan muncung paip alat tiup,” kata Menard.

“Jika saya menemui satu bentuk yang menarik minat saya, saya menghantar satu fail kepada rakan sekerja dan beliau mencetaknya. Ia sungguh hebat.” – AFP