Wednesday, April 24, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Hazami bersyukur atas rezeki tak diduga

    Peluang diberikan untuk menyertai program baharu, Terpaling Juara disifatkan penyanyi Hazami, 47, umpama bulan jatuh ke riba selepas berdepan keperitan hidup ketika era pandemik.

    Bersyukur atas rezeki tidak diduga, Hazami terharu dan menganggapnya sebagai peluang besar untuk kembali menonjolkan diri selepas 22 tahun membina nama dalam industri muzik.

    “Alhamdulillah atas rezeki yang Allah berikan. Saya tahu pasti ada yang menganggap tak habis-habis muka Hazami, namun di sebaliknya, orang tak tahu bagaimana saya bersyukur dengan peluang ini.

    “Awda ingat senang dipilih berentap dengan dua penyanyi berpengalaman seperti Ifa Raziah dan Rahmad Mega. Memang bukan perkara mudah,” katanya kepada media.

    Penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Sonata Musim Salju itu berkata, peluang itu sangat dihargai selepas terkesan dengan pandemik COVID, lebih dua tahun lalu.

    Hazami mengatakan akibat kesusahan hidup membuatkannya terfikir mahu menjual piano kesayangannya. – Agensi

    “Jujurnya, saya sudah dua setengah tahun tiada ‘job’. Sebenarnya, saya memang terkesan dengan pandemik COVID.

    “Saya tiada duit nak makan, malah, rumah juga tidak berbayar sewa selama empat bulan.

    “Duit dalam bank hanya tinggal RM200, itulah yang berlaku pada awal tahun lalu.

    “Namun, saya jenis senyap dan tidak bercerita. Saya diamkan sahaja dan kini, baru berkongsi,” katanya.

    Hazami atau nama sebenarnya, Norkamal Hazami Ahmad berkata, dia menerima royalti menerusi hasil karya yang dihasilkan, namun bayaran tersekat disebabkan era pandemik.

    “Saya diberitahu sistem terganggu, jadi, duit tak masuk. Namun, sekarang sudah okay. Cuba bayangkan, saya tiada gaji tetap, tetapi duit perlu keluar, setiap bulan.

    “Sudah tentu duit simpanan habis kerana fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan sekejap,” katanya.

    Malah, kata Hazami, kesusahan hidup membuatkannya terfikir mahu menjual piano kesayangannya. Bagaimanapun, Hazami bernasib baik keluarga, rakan penyanyi mahupun penggiat seni tampil memberikan bantuan.

    “Alhamdulillah, kewangan kembali stabil, sejak Januari lalu.

    “Adik-beradik saya banyak membantu. Jujurnya, saya tidak tahu apa nak buat sehingga menghubungi semua persatuan seperti Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) dan Recording Performers Malaysia (RPM) dan syarikat penerbitan meminta pertolongan.

    “Mereka memberikan duit pendahuluan dan dimasukkan dalam akuan dalam tempoh tidak sampai 24 jam. Malah, rakan seperti Datuk Hattan dan Fauziah Latiff turut mengambil berat,” katanya.

    Penyanyi kelahiran Ipoh, Perak itu berkata, dia tidak mahu menagih simpati orang.

    “Ketika sakit dahulu pun saya mendiamkan diri. Perangai saya memang tidak suka menyusahkan orang lain.

    “Saya tahu bukan saya seorang sahaja, malah satu dunia terkesan ketika era pandemik. Kalau saya fikir susah, ada lagi orang yang lebih susah.

    “Jadi, saya terima ujian ini dengan berlapang dada,” katanya.

    Enggan mengeluh, Hazami berkata, dia mahu menggunakan peluang beraksi menerusi program baharu, Terpaling Juara sebaik mungkin.

    Program Terpaling Juara bakal menyaksikan penyanyi legenda, Hazami, Ifa dan Rahmat berentap dengan bintang baharu, Shazreen Shaharum (Shaz), Aqmal Ramdan (Aqmal) serta Aqeesh Aleeya (Aqeesh) di bawah bimbingan tiga pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) untuk merebut gelaran Terpaling Juara.

    Mereka adalah penyanyi, penggubah lagu dan penulis lirik berbakat besar iaitu juara AJL 30, Akim Ahmad, Hael Husaini (AJL 32 dan AJL 33) dan Naim Daniel (AJL 34) yang akan menggalas tanggungjawab sebagai kapten.

    Tiga kapten akan membimbing penyanyi otai dan bintang baharu untuk menjayakan persembahan mingguan bertemakan #playlistAJL iaitu lagu-lagu popular AJL yang diberikan nafas baharu. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...