MONCHENGLADBACH, JERMAN, 27 OKT – Eden Hazard (gambar bawah) telah melakukan perjalanan bersama skuad Real Madrid ke Jerman selepas kembali pulih daripada kecederaan ketika menentang Borussia Moenchengladbach di Liga Juara-Juara, kata pelatih Zinedine Zidane semalam.
“Itu berita baik,” kata Zidane, menjelang perlawanan Liga Juara-Juara esok.
“Kami semua gembira dia kembali bersama kami dan kami akan melihat bagaimana kami menurunkannya esok,” tambah Zidane.
“Yang penting dia kembali dan itu positif besar bagi kami.” Penampilan terakhir Hazard muncul dalam kekalahan pada peringkat 16 Liga Juara-Juara di Manchester City pada 7 Ogos lalu.
Pemain Belgium berusia 29 tahun itu keluar pada minit ke-83 di Manchester dan tidak bermain sejak itu, kerana kecederaan otot pada paha kanannya. Real tewas pada perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara 3-2 di tempat lawan Shakhtar Donetsk pada Rabu lalu.
Mereka bangkit dengan kemenangan di La Liga 3-1 menentang Barcelona pada Sabtu lalu.
“Kami mahu tampil seperti yang kami lakukan di El Clasico dan mengumpul mata,” kata Zidane.
“Persembahan yang kami sampaikan di El Clasico yang akan kami hasilkan esok.
“Kami bermain dengan baik, berjuang sebagai satu pasukan dan yang paling penting ialah kami mencuba dan melakukannya esok.”
Pemain tengah Jerman, Toni Kroos berkata, Real tidak mampu untuk memulakan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dengan kekalahan.
“Kami tahu betapa pentingnya perlawanan ini setelah kalah menentang Donetsk,” kata Kroos. – AFP