Hazard, Suarez akan terus beraksi

MADRID, 10 JUN – Ketika kempen La Liga ditangguhkan, Eden Hazard dan Luis Suarez dijangka tidak akan memainkan peranan dalam persaingan merebut kejuaraan, tetapi apabila musim bersambung esok, mereka akan menjadi faktor penentu.

Hazard terpaksa melupakan saingan bersama Real Madrid musim ini apabila menjalani pembedahan di kaki kanan manakala Suarez pula dikatakan sudah mengharungi perlawanan terakhir bersama Barcelona apabila lututnya dibedah pada Januari.

Sebaliknya, kedua-dua pemain itu mendapat talian hayat baharu apabila Suarez masih kekal bersama Barca dan Hazard kembali memulakan kempen bersama Real.

Selepas Real menandatanganinya dari Chelsea tahun lalu, Hazard bergelut dengan kecederaan dan gagal menampilkan prestasi terbaik-nya seperti di Liga Perdana Inggeris (EPL). Menurut rakan sepasukan dan senegara dari Belgium, Thibaut Courtois, dia terkejut melihat Hazard kembali menemui rentaknya.

“Kita tidak boleh mengharapkan dia berada pada tahap terbaiknya tanpa beraksi,” kata penjaga gol Real itu.

Pengendali Barca, Quique Setien juga melihat perubahan positif pada Suarez yang dijangka kembali pada prestasi terbaik dalam masa terdekat.

“Dia lebih baik daripada kami jangkakan. Tetapi persoalannya adakah dia bersedia selepas rehat panjang dan sama ada dia bersedia memulakan perlawanan,” katanya.

Walaupun memenangi Clasico pada 1 Mac, prestasi Madrid mula merosot dan kemenangan 2-0 ke atas Barcelona itu adalah kemenangan tunggal dalam lima perlawanan. – AFP