Hazard temukan sentuhan, Madrid kembali menang

MADRID, 24 JAN – Eden Hazard (gambar bawah) berjaya menjaringkan gol dan satu assist ketika Real Madrid menewaskan Alaves 4-1 semalam sekali gus meredakan tekanan ke atas jurulatih mereka, Zinedine Zidane yang dijangkiti COVID-19 baru-baru ini.

Kedudukan Zidane sekali lagi menjadi perhatian selepas tewas menentang Alcoyano di Copa del Rey, Rabu lalu tetapi Madrid bangkit di Mendizorroza tanpa pengurus dan juga ketua pasukan, Sergio Ramos yang cedera lutut.

Jaringan Casemiro, Karim Benzema dan Hazard meletakkan Madrid di depan pada separuh masa pertama. Ketika Alaves mendapatkan gol menerusi tandukan Joselu dan Benzema mengesahkan kemenangan selesa dengan jaringan gol keduanya. Kemenangan itu hanya yang kedua buat Real Madrid dalam enam perlawanan dan kini mereka empat mata berada di belakang Atletico Madrid yang masih memiliki kelebihan dua perlawanan dalam tangan dan akan menentang Valencia di halaman sendiri esok.

“Jaringan gol itu bagus untuk keyakinan, untuk semua orang, ini minggu yang sukar bagi kami kerana kami perlu menang. Selalu ada tekanan. Hari ini berjalan lancar, bukan hanya untuk saya, untuk semua orang,” kata Benzema. – AFP