Tuesday, April 23, 2024
28.9 C
Brunei

    -

    Haziq dilamar hos Melodi baharu

    Mulai hari ini, program hiburan nombor satu, Melodi menggandingkan Ain Edruce dan Haziq Hussni sebagai hos baharu.

    Berbesar hati memikul tanggungjawab, Haziq atau nama sebenarnya, Muhammad Haziq Irfan Mohd Hussni berkata, dia berterima kasih kepada stesen TV3 yang memilihnya untuk mengendalikan program hiburan popular itu.

    “Saya bersyukur menerima tawaran Melodi. Siapa tidak mahu mengacarakan program hiburan nombor satu di Malaysia. Berpasangan pula dengan Ain, jadi, saya tiada masalah.

    “Saya dan Ain hampir digandingkan untuk beberapa program, tetapi tiada jodoh. Kini, akhirnya program Melodi menjadi program pertama menggandingkan kami.

    “Hari ini kali pertama, tetapi saya dapat rasa keserasian. Ia datang dengan sendirinya.

    Haziq dan Ain memikul tanggungjawab sebagai hos Melodi musim baharu. – Agensi

    “Kami sebaya dan harap gandingan tidak terhenti di sini, berpeluang lagi pada masa hadapan,” katanya kepada BH Online. Haziq ditemui pada sidang media memperkenalkan hos baharu Melodi di Studio 3, Glenmarie, tengah hari ini.

    Turut hadir, Penerbit Eksekutif, Jamil Hassan dan penerbit, Michelle Wee. Haziq dilamar sebagai hos Melodi musim baharu atas pembawaan yang dinamik, serba boleh dan mudah menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi.

    Terdahulu, Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-31 itu mengumumkan meninggalkan stesen radio, Hot FM pada 10 Jun lalu selepas lapan tahun.

    Bertanyakan tekanan dilalui untuk mengendalikan program hiburan popular, Haziq tidak menafikan.

    Pun begitu, katanya, dia akan cuba memberikan terbaik selaras dengan usaha program Melodi untuk kekal relevan di kalangan penonton pelbagai peringkat umur.

    “Apa sahaja program yang dikendalikan, pastinya ada tekaan. Malah, saya akan rasa gugup, tetapi perasaan inilah yang membantu memberikan semangat untuk melakukan yang terbaik.

    “Melodi adalah program besar. Sebelum ini, hos terdahulu hebat-hebat, tetapi saya pula masih hos baharu.

    “Jadi, saya berharap tidaklah mengendalikan satu musim sahaja,” katanya. Tambah Haziq, dia akan sentiasa belajar memperbaiki diri dan membuktikan pada orang ramai dia mampu menggalas tanggungjawab sebagai hos Melodi yang baik.

    “Walaupun saya sudah bergelar pengacara sejak 2014, tetapi saya masih belajar. Mengacarakan program Melodi tidak sama dengan program lain.

    “Saya pernah sekali menjadi hos jemputan. Jadi, saya gunakan pengalaman ini untuk mencabar diri.

    “Bagi saya, episod pertama adalah uji bakat buat saya. Sebab saya bukan sahaja diadili stesen TV3, tetapi penonton.

    “Inilah masanya buktikan pada penonton saya boleh melakukannya,” katanya. Selepas 34 tahun bersiaran, program Melodi sudah menampilkan pengacara hebat seperti Fauziah Ahmad Daud, Awal Ashaari, Fara Fauzana, Wahid dan Nabila Huda.

    Kini, giliran Ain dan Haziq meneruskan legasi sebagai hos Melodi. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...