HDC yakin catat RM50 bilion eksport

PETALING JAYA, 15 Mac — Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) yakin dapat memenuhi sasaran mengutip RM50 bilion nilai eksport menjelang 2020, walaupun merekodkan eksport yang lebih rendah sebanyak RM40 bilion tahun lepas, kata Naib Presidennya Hanisofian Alias.

Beliau berkata sasaran itu disokong menerusi peningkatan eksport dalam produk tambah nilai, dengan India sebagai negara tumpuan baharu.

“India yang berpotensi menjadi pasaran baharu, sedang memperluas pasaran halalnya sendiri, dan memerlukan produk sawit iaitu oleokimia,” katanya kepada pemberita semasa pelancaran Persidangan Halal Dunia 2019 hari ini.

Memandangkan inventori minyak sawit Malaysia kini tinggi, sebanyak 3.05 juta tan metrik, permintaan oleh India dapat membantu mengurangkannya, katanya.

“Sasaran untuk mencapai sasaran itu (nilai eksport bernilai RM50 bilion) sangat mencabar, memandangkan ketika ini minyak sawit berhadapan cabaran akibat sentimen negatif oleh EU (Kesatuan Eropah), selain saingan daripada minyak soya.

“Indonesia, negara pengeluar minyak sawit yang juga menghadapi tahap inventori yang lebih tinggi, mendorongnya menjual produk itu pada harga yang murah, sekali gus meletakkan minyak sawit pada kedudukan yang sukar,” katanya.

Sementara itu, Hanisofian berkata HDC akan menganjur Persidangan Halal Dunia ke-11 2019 (WHC 2019), yang dihoskan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dari 3 hingga 4 Apri depan. – Bernama