HDOK diisytihar hospital bebas sampah

SANDAKAN, 8 Ogos – Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan menjadi premis dan pejabat kerajaan yang ketujuh diisytiharkan ‘bebas sampah’ di daerah ini menerusi program yang dijalankan oleh Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).

Sijil pengisytiharan Hospital Bebas Sampah itu disampaikan oleh Timbalan Presiden MPS Mohd Hamsan Awang Supaian kepada Pengarah HDOK Sandakan Dr Francis Paul di sini, hari ini.

Berucap pada majlis itu, Francis berkata syarikat Sedafiat Sdn Bhd yang mengendalikan kerja pembersihan di hospital tersebut banyak memberikan komitmen dan peranan penting kepada usaha menjadikan HDOK bebas sampah.

Katanya pihaknya bekerjasama rapat dengan Sedafiat dalam pengurusan sampah yang baik termasuk membabitkan sampah klinikal dan kimia.

“Berikutan jumlah pengunjung ke hospital seramai 1,000 orang setiap sehari sudah tentu terdapat cabaran untuk melaksanakan pengurusan sampah dengan baik, namun komitmen 1,600 warga kerja di HDOK dan petugas Sedafiat dapat menjadikan HDOK Bebas Sampah,” katanya.

Mohd Hamsan Awang Supain (dua, kanan) melihat barang hasil kitar semula atas inisiatif kakitangan Syarikat Sedafiat Sdn Bhd di Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan, kelmarin. – Bernama

Dalam pada itu, Mohd Hamsan berkata program bebas sampah di premis dan pejabat kerajaan yang dilaksanakan sejak enam tahun lepas merupakan antara kempen kesedaran kebersihan dilaksanakan di daerah itu membabitkan masyarakat.

Katanya program kesedaran turut dijalankan membabitkan restoran dan syarikat swasta menerusi pengasingan sisa pepejal dan sisa organik untuk diproses semula dan dijadikan baja organik.

Menurutnya langkah itu perlu bagi memastikan tapak pelupusan sampah di Batu 8 dapat digunakan bagi tempoh yang lama dengan mengawal jumlah sampah yang dibuang menerusi konsep 3R (Reuse, Reduce dan Recycle). – Bernama