Headstart by Dynamik Technologies lahir graduan sedia industri

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Dynamik Technologies Sdn Bhd dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah memeterai perjanjian kerjasama bagi Program Headstart by Dynamik Technologies yang bermatlamat untuk melahirkan graduan sedia industri yang dilengkapi sepenuhnya untuk melaksanakan tugas di tempat kerja.

Program itu juga akan mengatasi kekurangan bakat IT berpengalaman di Negara Brunei Darussalam yang diperlukan untuk membangunkan industri IT negara.

Majlis penandatanganan bagi itu telah diadakan secara persidangan video, hari ini, yang turut menyaksikan penandatangan dua orang pelajar teladan yang menjadi kumpulan pertama bagi program berkenaan.

Hadir secara maya pada majlis berkenaan selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatanganan berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud selaku timbalan pengerusi Majlis Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Pada majlis berkenaan, menandatangani bagi pihak Dynamik Technologies Sdn Bhd ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Dayang Haslina Haji Mohd Taib dan Ketua Perkhidmatan Korporat, Hajah Siti Rozana binti Dato Paduka Haji Mohd Yunos. Sementara itu, menandatangani bagi UBD ialah Naib Canselor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti POKLWDSS Haji Awang Abdul Aziz dan Penolong Naib Canselor, Pengiran Dr Mohamad Iskandar bin Pengiran Haji Petra.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti semasa menghadiri majlis tersebut secara maya dan menyaksikan penandatanganan majlis berkenaan. – Gambar serahan Dynamik Technologies Sdn Bhd

Program Headstart menggunakan model ijazah perantisan yang dilaksanakan sepanjang kurikulum empat tahun, Ijazah Sains Digital untuk menyampaikan campuran pengajian kursus akademik dan elemen pembelajaran berasaskan kerja. Program yang serupa telah ditubuhkan oleh syarikat-syarikat antarabangsa yang lain seperti Dyson, Cisco, BP dan Nestle berkerjasama dengan institusi-institusi akademik.

Dynamik Technologies memainkan peranan sebagai penyelaras penyelesaian untuk memastikan program berkenaan kekal relevan dan untuk menyediakan kemahiran industri relevan yang dinamik serta persijilan yang diiktiraf antarabangsa.

Kolaborasi antara industri dan akademik itu akan memanfaatkan banyak pihak yang berkepentingan untuk membantu mencapai aspirasi industri 4.0 negara dan serantau.

Dua pelajar bagi kumpulan pertama program berkenaan ialah Radin Mas Halimahtul Amyza @ Siti Aisyah binti Radin Mas Emran dan Dayang Nadeeya binti Norjemee yang mengikuti pengajian di bawah Ijazah Sains Digital iaitu ijazah yang baru ditawarkan di bawah School of Digital Science UBD. Mereka telah dipilih setelah melalui pusingan temu duga dan penilaian yang intensif.

Penandatanganan berkenaan telah disaksikan oleh ibu bapa dan keluarga pelajar berkenaan serta pengurusan kanan dari Dynamik Technologies dan UBD.

Pelajar Headstarters akan mengikuti latihan sambil bekerja, persijilan dan pengalaman relevan sambil belajar dalam program ijazah mereka. Setelah tamat pengajian, mereka akan menerima ijazah dan juga mempunyai persijilan yang diiktiraf antarabangsa dalam pembangunan perisian, SAP, pengurusan perubahan, pengurusan projek dan pengurusan perkhidmatan IT. Mereka juga akan diberikan tawaran pekerjaan bersyarat dengan Dynamik Technologies untuk empat tahun setelah berjaya memenuhi syarat dan terma.

Dayang Haslina dipetik menyatakan bahawa pihaknya bangga kerana dapat bekerjasama dengan UBD dan mereka percaya program itu akan meningkatkan lagi kebolehpekerjaan para graduan serta menyediakan industri dengan graduan yang mampu secara teknikal untuk menyampaikan dan memenuhi keperluan perniagaan.

“Headstart by Dynamik Technologies adalah seruan untuk bertindak kami untuk menyokong matlamat kerajaan bagi mengurangkan pengangguran di Brunei Darussalam dengan meningkatkan kebolehpekerjaan graduan dan meletakkan rancangan pembangunan bakat untuk menangani kehendak keperluan kerja bagi industri IT,” tambahnya lagi.