Hearn pertahan venue pertarungan

LONDON, 13 OGOS – Promoter tinju, Eddie Hearn berkata keputusan kontroversi untuk mengadakan pertarungan semula di antara Anthony Joshua dan Andy Ruiz Jr bagi gelaran heavyweight dunia di Arab Saudi ‘boleh mengubah tinju selama-lamanya’.

Amnesty International mengkritik pilihan venue bagi pertarungan yang akan diadakan pada 7 Disember itu, di mana Joshua menyasarkan untuk merampas semula gelaran IBF, WBA dan WBO yang dilepaskannya kepada Ruiz Jr di New York pada Jun lalu; dengan menimbulkan rekod hak asasi kemanusiaan yang lemah negara itu, pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi dan perang berterusan di Yaman.

Tetapi promoter Matchroom, Hearn mempertahankan keputusan itu susulan adanya khabar angin bahawa Cardiff berpotensi menjadi venue pertarungan, di mana dia berkata beberapa sukan berprofil tinggi yang lain juga pernah diadakan di Arab Saudi. Bahkan Hearn berkata ia mungkin menjadi perangsang kepada tinju dalam meluaskan lagi peminatnya.

“Kita perlu sedar bahawa adanya dunia luar selain Cardiff dan Madison Square Garden. Acara ini mungkin mengubah tinju selama-lamanya. Anda mungkin akan menyaksikan satu perubahan besar dalam kedinamikan sukan ini,” katanya pada satu sidang media di London.

Hearn menegaskan bahawa ia adalah tidak adil untuk mengkritik tinju kerana pergi ke Arab Saudi, di mana Amir Khan dari Britain juga bertarung di sana baru-baru ini, dan juga kerana sudah banyak sukan lain mula menggunakan negara itu kini. – AFP

Eddie Hearn dan rakan pengurusan Skill Challenge Entertainment, Omar Khalil berjabat tangan semasa sidang media di London. – AP