Hebatnya berselawat ke atas junjungan besar

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Mufti Kerajaan Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dalam kuliah Subuhnya di Masjid Omar Ali Saifuddien di ibu negara hari ini menyentuh mengenai selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Beliau menekankan kehebatan berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW antaranya malaikat akan berselawat pula ke atas orang tersebut dan Allah pun akan berselawat ke atasnya dan akhirnya semua hidupan di dunia akan memohon doa untuknya.

Selawat beramai-ramai memastikan rahmat Allah SWT turun ke bumi dan doa isi bumi pula mengayakan manusia dengan rahmat, tambahnya.

Namun manusia tidak akan nampak kesan doa malaikat dan isi bumi yang mendoakan kita kerana ia adalah rahsia Allah SWT kerana jika manusia nampak rahmat dan berkat kurniaanNya, maka semua orang tidak mahu membuat kerja lain melainkan kerja yang boleh menghasilkan rahmat dan berkat sahaja, kata Yang Berhormat Mufti Kerajaan.

Beliau menjelaskan, orang-orang yang benar-benar memahami dan mengetahui perkara ini, sama sekali tidak akan mempersia-siakan kesempatan memperbanyakkan zikir, sama ada berupa tasbih, tahlil, tahmit, selawat dan lain-lain.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Mufti Kerajaan turut menyentuh mengenai selawat Tafriziah sering disebut dalam ceramah yang menurutnya punya kelebihan tinggi berdasarkan petikan kata-kata daripada imam-imam terkenal terdahulu, antaranya mengatakan rezeki tidak putus dan mendapat kedudukan tinggi jika dibaca 11 kali setiap hari selepas sembahyang fardu.

“Dengan itu, bolehlah dianggap bahawa selawat Tafriziah adalah pemangkin dan penjana ekonomi. Ia seharusnya dicuba oleh umat Islam sambil berusaha dan berselawat sehingga menjadikannya budaya harian kita,” kata Yang Berhormat Mufti Kerajaan.

Melalui petikan imam-imam terdahulu juga, beliau menyatakan bahawa selawat Tafriziah juga menjadi penawar dukacita, kemiskinan, kubu menolak bencana, pembuka pintu doa malah penyembuh penyakit.

Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz semasa menyampaikan kuliah Subuh mengenai selawat.