Helah amah terbongkar

BANDAR SERI BEGAWAN, 2013 – Taktik seorang perempuan pembantu rumah berpakat bersama empat kawannya untuk mencuri di rumah majikannya, dengan cara penipuan kononnya angkara dirompak oleh orang tidak dikenali yang masuk ke rumah pada waktu siang hari, berjaya dibongkar oleh polis.

Perempuan warga Indonesia itu, bersama rakan-rakannya juga warga Indonesia, dihadapkan di Mahkamah Majistret, mengaku mencuri duit majikannya $30,864 bersama wang-wang asing serta barang-barang kemas dan dijatuhi hukuman penjara.

Dua tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun tiga bulan manakal tiga yang lain masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua tahun tiga bulan. Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen-seksyen 203, 120B, 380 dan 411 Kanun Hukum Jenayah.

Menurut fakta kes, tertuduh (A) yang bekerja sebagai pembantu rumah di Perumahan Rakyat Jati Kampung Rimba telah berpakat dengan empat kawannya, dua lelaki dan dua perempuan melakukan satu adengan rompakan di rumah majikannya pada 23 September 2013.

Sebelum itu, iaitu pada 15 September 2013, mereka berlima telah mengambil cuti kerja untuk tujuan berjalan-jalan serta berjumpa kawan-kawan pada hari minggu di Bandar Seri Begawan.

Di sanalah mereka membuat perundingan untuk melakukan curi dalam rumah majikan tertuduh (A), dengan cara dirompak, untuk mengelirukan supaya tindakan mereka tidak diketahui tuan rumah (majikan) serta pihak berwajib (polis).

Pada 23 September 2013, lebih kurang 1 petang, ketika itu hanya tertuduh (A) bersama dua orang warga emas sedang tidur manakala penghuni rumah yang lain sedang keluar bekerja, tertuduh (A) telah menyuruh kawan-kawannya datang ke rumah majikannya itu untuk mencuri duit di dalam rumah berkenaan.

Setelah selesai mereka mengambil wang tersebut, salah seorang kawannya telah memukul serta mengikat tangan tertuduh (A) yang terus pura-pura pengsan, sehingga tuan rumah melihat keadaan pembantu rumah itu cedera dan dipercayai dirompak oleh orang yang tidak dikenali.

Hasil siasatan pihak Unit Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Brunei telah berjaya membongkar penipuan pembantu rumah tersebut dan mengakui mencuri wang majikan bersama-sama dengan kawan-kawannya itu.

Polis turut berjaya mendapatkan semula wang curian sebanyak $30,864 bersama wang-wang asing serta barang-barang kemas.