Helah sembunyi rokok di kawasan bakau terbongkar

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Barang tegahan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) yang tidak bertuan berupa 75 karton rokok pelbagai jenis yang diseludup dan disembunyikan dalam peti sejuk beku sebagai tempat penyimpanan sementara di kawasan bakau berjaya dirampas.

JKED melalui Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, baru-baru ini membuat gerakan operasi laut di kawasan perairan Kampung Bolkiah B bagi kegiatan penyeludupan berikutan hasil daripada maklumat yang diterima daripada orang awam.

Sehubungan itu, JKED menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi mana-mana perundangan negara yang berkuat kuasa pada masa ini dan menghindari daripada melakukan kegiatan-kegiatan penyeludupan.

Ini termasuk membawa masuk dan keluar barang-barang tegahan dan juga larangan tanpa sebarang kebenaran daripada agensi-agensi berkepentingan yang mengawal barang-barang tersebut.

Memiliki barang-barang tegahan kastam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 146, Perintah Eksais 2006.

JKED turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang telah memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan aktiviti yang menyalahi perundangan dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh JKED.

Orang ramai dialu-alukan untuk mengongsikan maklumat berkaitan apa jua kegiatan penyeludupan barang-barang tegahan kastam atau apa jua aktiviti yang menyalahi perundangan kastam.

Di samping itu, orang ramai boleh menghubungi JKED di talian utama 8714422 dan 8721422 atau pejabat kastam yang berdekatan dan pihak JKED juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

Peti sejuk beku yang digunakan sebagai tempat menyimpan 75 karton rokok ditemui JKED ketika operasi di laut dijalankan. – Gambar serahan JKED