KOTA KINABALU, 25 Jan – Sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) digunakan untuk menghantar bekalan makanan kepada mangsa banjir di Pitas yang terputus hubungan akibat banjir.
Antara kampung yang terjejas ialah Kampung Kiambalang, Kinangoh, Ladap, Botung, Andab dan Kampung Nibang.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah Kolonel Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, dan Rela telah memunggah 400 bungkus bekalan makanan untuk diedarkan kepada penduduk yang terlibat menggunakan helicopter.

“Kesemua barangan makanan itu diterima daripada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Pitas dan urusan penghantaran pertama dapat dilakukan kepada 37 keluarga di Kampung Nibang tengah hari tadi.
“Operasi menggunakan Helikopter PDRM itu akan terus dilaksanakan dan kita juga akan terus melakukan pemantauan dari udara menggunakan dron,” katanya dalam satu kenyataan.
Setakat ini, jumlah mangsa banjir di Sabah iaitu di Pitas dan Beluran kekal 624 orang daripada 221 keluarga. – Bernama