Helikopter mendarat cemas, 1 maut

NEW YORK, 11 JUN – Seorang maut apabila sebuah helikopter terhempas ketika melakukan pendaratan kecemasan di bumbung sebuah bangunan pencakar langit di pusat bandar Manhattan semalam, mencetuskan kebakaran dan menyebabkan seluruh bangunan bergegar akibat impak tersebut.

Perkhidmatan kecemasan bergegas ke bangunan 54 tingkat di Seventh Avenue selepas apa yang digambarkan sebagai ‘pendaratan cemas’ oleh sebuah helikopter yang berlepas 10 minit sebelumnya dari sebuah pangkalan helikopter di bandar raya.

Jabatan bomba New York mengesahkan seorang terkorban, diandaikan juruterbang, menurut Datuk Bandar Bill de Blasio.

“Tidak ada kecederaan lain yang kami tahu pada masa ini dalam bangunan atau di kawasan sekitarnya,” kata beliau, menambah: “Syukurlah.”

Juruterbang adalah satu-satunya orang yang menaiki helikopter itu, menurut pengatur selia penerbangan.

“Tidak adanya petunjuk pada masa ini yang menandakan ia adalah perbuatan keganasan,” kata de Blasio. “Dan tidak adanya ciri ancaman berterusan terhadap penduduk Bandar New York ketika ini berdasarkan kesemua maklumat yang kami ada sekarang.”

Masih tidak jelas sama ada helikopter yang terhempas itu memiliki kebenaran untuk terbang di pusat bandar raya atau keadaan cuaca yang berkabus dan hujan telah menyebabkan nahas berlaku.

Gambar video selepas nahas menunjukkan kepulan asap tebal keluar dari atas bangunan.

Jabatan bomba bandar berkata ia berjaya memadamkan api di bumbung bangunan, ketinggian yang menimbulkan cabaran kepada anggota bomba. – AFP/Bernama

Seorang anggota polis memegang pita untuk menghalang orang ramai memasuki tapak nahas helikopter pada 10 Jun di New York. Jabatan Bomba New York berkata juruterbang helikopter yang terhempas di bumbung bangunan pencakar langit Manhattan telah meninggal dunia. – AP