Helikopter terhempas, dua tentera Belanda maut

THE HAGUE, 20 JULAI – Kementerian Pertahanan Belanda hari ini memaklumkan dua anggota tenteranya maut selepas sebuah helikopter tentera Belanda terhempas ke laut sejurus berlepas dari pulau Aruba di Caribbean.

Helikopter itu dipercayai dalam perjalanan ke pulau berdekatan, Curacao, pada petang semalam sebelum ia terjatuh 12 kilometer dari pesisir pantai Aruba, wilayah jajahan Belanda, kata kementerian itu.

Ketua Angkatan Tentera Belanda, Rob Bauer, mengesahkan bahawa dua daripada empat anggota tentera yang berada dalam pesawat ketika itu terbunuh.

“Dua lagi anggota pasukan tidak mengalami kecederaan serius, bagaimanapun kejadian itu adalah berita mengerikan dan menjadi kejutan kepada semua,” katanya pada sidang media di The Hague, awal pagi tadi.

Punca kemalangan itu masih belum diketahui, namun pengawal penyelamat pantai dan penyelam tentera Belanda kini sedang berusaha mencari kotak hitam pesawat itu.

Menurut Bauer, usaha mencari dilaporkan sukar berikutan angin kencang, arus deras dan ombak besar, selain turut memberitahu siasatan akan dibuka. – AFP