SALT LAKE CITY, 23 FEB – Dua helikopter Blackhawk terhempas dalam jarak beberapa ratus ela dari pusat peranginan ski Utah semasa latihan ketika pemain ski berada di lif berhampiran menyaksikan awan besar salji berkepul ke udara, pagi kelmarin.
Sementara itu, tiada seorang pun lelaki dan wanita di atas helikopter itu atau puluhan pemain ski berhampiran cedera, kata pihak berkuasa. Jurucakap Pengawal Kebangsaan Utah, Jared Jones berkata bahawa kemalangan itu berlaku semasa latihan standard di tanah Perkhidmatan Hutan Amerika Syarikat (AS) di luar sempadan pusat peranginan Ski Snowbird, kira-kira 47 kilometer dari Salt Lake City.
Joseph Schafer, 23 tahun dari Provo, mendengar bunyi dentuman itu. Dia berkata bunyi itu seperti bunyi letupan daripada rondaan ski yang menggunakan bahan letupan untuk mengawal runtuhan salji, tetapi menyedari ia adalah sebuah kemalangan apabila terlihat kipas helikopter terbang keluar dari kepulan awan. Dia bersyukur tiada siapa yang cedera parah, tetapi berkata pemain ski sepertinya sedih apabila tempat peranginan itu menutup lif dan trem berhampiran lokasi nahas tersebut.- AP