Helmi sedia tangani cabaran di Tangkak

KUALA LUMPUR, 21 OGOS – Selepas beraksi cemerlang dalam pembukaan musim di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bulan lepas, pelumba Hi Rev Honda SCK Racing Mohd Helmi Azman, bertekad untuk mengatasi cabaran yang menanti di Litar Lumba Tangkak dalam pusingan kedua, hujung minggu ini.

Bagi pendahulu perlumbaan CP150 Kejohanan Cub Prix Malaysia Petronas, Litar Lumba Tangkak sepanjang 1.1 kilometer di Gerisik, Johor tidak begitu ‘mesra’ kepadanya tetapi beliau masih berharap untuk mendapatkan penyudah podium atau sekurang-kurangnya berakhir dengan kedudukan lima teratas bagi mengekalkan kedudukannya sebagai pendahulu kejohanan.

“Secara strategik, Tangkak merupakan kunci bagi saya mendapatkan kejuaraan CP150 sulung saya tahun ini, kerana kami akan berlumba sebanyak tiga kali di sini musim ini.  Pasukan ini sememangnya berkeyakinan dengan keupayaan jentera kami di SIC.

“Tetapi dengan begitu banyak pelumba yang mampu memberi saingan dalam kejohanan ini, kami tidak boleh bergantung kepada kelebihan di Sepang sahaja.” – Bernama