Hendrawan berdepan saat sukar

KUALA LUMPUR, 6 OGOS – Ketua jurulatih perseorangan lelaki Malaysia, Hendrawan mengakui meniti saat sukar menghadapi tekanan dalam hidupnya sebelum berlepas ke Sukan Olimpik Tokyo di Jepun.

Jurulatih kelahiran Indonesia itu mendedahkan masalah peribadi yang membelenggu dirinya telah menyebabkan beliau berada dalam tekanan sebelum menemani anak buahnya, Lee Zii Jia membawa cabaran negara di Tokyo.

“Perjalanan ke Olimpik Tokyo sangat sukar… Bapa saya di Indonesia dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke unit rawatan rapi. Anak perempuan saya juga dimasukkan ke hospital, saya terpaksa berkorban dan tidak boleh melawat anak saya kerana menjalani tempoh kuarantin sebelum ini,” katanya pada sidang media dalam talian hari ini.

Bukan itu sahaja, Hendrawan mengakui kejayaan Zii Jia menjuarai Kejuaraan All England 2021 Mac lepas telah menambah tekanan kepada dirinya dan barisan kejurulatihan lain bagi mempersiapkan pemain kelapan terbaik dunia itu untuk mencipta kejayaan di Sukan Olimpik Tokyo. – Bernama