Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mac – Bagi memberikan gambaran dan kesedaran mengenai projek loji minyak dan petrokimia di Pulau Muara Besar kepada masyarakat, Hengyi Industries Sdn Bhd telah menganjurkan sesi perjumpaan awam pertama di Pusat Tingkatan Enam (PTE) Meragang, hari ini.
Sesi tersebut dihadiri oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Pemangku Penghulu Mukim Serasa, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman.
Panel yang terdiri daripada wakil Hengyi dan pemegang saham, Damai Holdings Ltd bersama pegawai dari Kementerian Tenaga, (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian serta Pihak Berkuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Kebangsaan (SHENA) pada sesi perjumpaan itu menyentuh mengenai keselamatan kerja, kebajikan pekerja dan sosial kesan terhadap komuniti.
Pengarah Sumber Manusia Hengyi Industries Sdn Bhd, Alan Goh menjelaskan bahawa loji penapisan minyak dan loji petrokimia di Pulau Muara Besar dijangka mula beroperasi menjelang akhir tahun ini dan bakal memberi sumbangan signifikan kepada ekonomi negara.
Pada perjumpaan itu juga, Eksekutif Kesihatan dan Alam Sekitar Eksekutif Hengyi Industries Sdn Bhd, Haji Sofi Hasni bin Haji Sharbini antara lain berkongsi maklumat mengenai projek-projek loji penapisan minyak dan petrokimia yang sedia ada dan akan datang di Pulau Muara Besar.
Sesi perjumpaan itu diteruskan dengan tayangan video korporat dan sesi soal jawab.
